Keadaan di tempat kejadian. FOTO ihsan bomba
Keadaan di tempat kejadian. FOTO ihsan bomba
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

Kota Samarahan: Seorang lelaki selamat, rakannya dikhuatiri lemas kerana terperangkap dalam pacuan empat roda yang terjatuh dari feri di Kampung Muara Tuang, di sini malam tadi.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, mangsa Liang Rengga,56 diselamatkan orang awam, manakala seorang lagi mangsa belum dikenal pasti identitinya.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Farhan Sufyan Borhan berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada 9.01 malam.

Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian mendapati seorang mangsa berjaya diselamatkan orang awam.

"Mangsa memaklumkan bahawa dia berseorangan dalam pacuan empat roda tetapi orang ramai mendakwa masih ada seorang lagi mangsa terperangkap dalam kenderaan berkenaan.

"Kereta mangsa terjatuh kerana pemandunya tertekan pedal minyak menyebabkan kereta itu terjunam dalam sungai," katanya.

Katanya, anggota bomba masih berusaha menjejak kenderaan itu bagi mendapatkan kesahihan yang mendakwa seorang lagi mangsa terperangkap.

"Operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan pada 2.20 pagi tadi dan disambung semula 7 pagi ini," katanya.

Operasi mencari dan menyelamat membabitkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan dan Batu Lintang serta Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) Bomba.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2016 @ 9:42 AM