GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) akan menyegerakan proses vaksinasi kepada guru KAFA, pegawai masjid dan penolong pendaftar nikah yang enggan divaksin sebaik menerima senarai penuh daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, beliau menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj semalam, bagi membincangkan perkara itu.

"JKNS akan menyegerakan pemberian vaksin kepada mereka yang terbabit selepas mendapat senarai nama daripada JAIS. JKNS dan JAIS sudah sepakat untuk mengadakan satu sesi khusus kepada mereka.

"Saya sudah meminta senarai penuh dan tarikh daripada Pengarah JAIS (Datuk Mohd Shahzihan Ahmad) semalam.

"Jadi sekarang sedang tunggu senarai penuh dan tarikh sesuai dari pihak JAIS untuk melaksanakan vaksinasi khusus kepada individu berkenaan.

"JKNS sudah bersedia pada bila-bila masa untuk vaksinasi khas ini secepat mungkin," katanya ketika dihubungi tadi.

Dr Sha'ari berkata, pemberian vaksin kepada individu terbabit akan diberikan sekaligus pada satu tarikh khas dan di tempat yang sudah dipersetujui.

Terdahulu, Mohd Shahzihan dalam satu kenyataan berkata, JAIS Dan JKNS akan mengendalikan program Vaksinasi Khas kepada guru KAFA, pegawai masjid dan penolong pendaftar nikah yang enggan divaksin di Selangor.

Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj dalam titahnya menzahirkan dukacita di atas keengganan sejumlah guru KAFA, pegawai masjid dan penolong pendaftar nikah untuk divaksin.

Baginda mengingatkan kepada pihak terbabit bahawa mereka berkemungkinan tidak dibenarkan meneruskan tugas jika tidak divaksin.

Baginda bimbang kerana ia akan membahayakan diri sendiri dan orang ramai terutamanya pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 5:30 PM