Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bakal menyerahkan senarai nama guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa), pentadbir masjid dan penolong pendaftar nikah yang masih enggan disuntik vaksin kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, Jumaat ini.

Pengarah Jais, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, Sultan Sharafuddin sudah menitahkan kepada beliau supaya memberikan perincian berhubung program vaksinasi khas semalam.

"Saya dititah oleh Tuanku untuk melaporkan semua maklumat berkaitan program hari ini (semalam) khususnya siapa yang tidak hadir dan menolak untuk divaksin.Tuanku amat prihatin kerana kumpulan ini juga barisan hadapan dan perlu ambil tindakan sewajarnya.

"Tugas saya di peringkat jabatan. Saya akan berbincang dengan timbalan dan pegawai saya, kita akan merujuk semua peraturan dan tatatertib.

"Saya akan menggunakan kuasa saya jika perlu selepas dinasihati, tetapi mereka masih enggan divaksin," katanya. semua akan diteliti termasuk dari segi perundangan dan hukuman," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Pemberian Vaksin melalui Pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Khas bagi individu yang belum menerima vaksin melalui usahasama JAIS dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) di Masjid Negeri di sini, tadi.

Turut hadir, Pengarah JKNS, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.

Mohd Shahzihan berkata, secara keseluruhannya, sejumlah 872 individu dari JAIS sepatutnya hadir untuk divaksin namun ada yang menolaknya.

"Sehingga jam 11 pagi tadi (semalam), 146 yang hadir namun 80 peratus daripada jumlah itu menolak untuk divaksin walaupun pegawai kesihatan menasihati dan memberi penjelasan.

"Antara alasan, ia berkait dengan pegangan dan pemahaman mereka. Malah saya sudah dapat petisyen dihantar ke pejabat saya dengan hujah-hujah seperti peguam, berserta lampiran kes dan kenyataan akhbar.

"Program ini akan tamat jam 3 petang ini (semalam) dan kita akan tahu jumlah sebenarnya yang bersetuju dan menolak untuk divaksin," katanya.

Sementara itu, Dr Sha'ari berkata, pihaknya akan terus membantu JAIS bagi melancarkan program pemberian vaksin ini.

"Bagi individu yang menolak untuk divaksin, sekiranya terbuka hati dan berminat selepas ini, kita ada 53 klinik kesihatan dan 10 hospital di Selangor yang boleh menawarkan vaksin secara 'walk in'.

"Mungkin mereka memerlukan tempoh tertentu..mungkin bila nampak rakan yang sudah divaksin boleh mengajar dengan baik..mereka juga bersedia menerima dan kita akan panggil semua la untuk vaksin. InsyaAllah," katanya.

SEBAHAGIAN daripada guru sekolah KAFA, pegawai masjid serta ahli jawatan kuasa masjid menerima vaksin. FOTO Faiz Anuar
SEBAHAGIAN daripada guru sekolah KAFA, pegawai masjid serta ahli jawatan kuasa masjid menerima vaksin. FOTO Faiz Anuar

Beliau berkata, seramai kira-kira 100 anggota barisan hadapan dari JKNS bertungkus lumus membantu melancarkan program pemberian vaksin khas ini.

Sementara itu, beberapa individu yang enggan divaksin juga tidak mahu ditemubual oleh wartawan bagi mendapatkan penjelasan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 6:09 PM