Amirul Aiman Hamsuddin


Sabak Bernam: Nazli Misnon yang bekerja sebagai pemandu lori berjanji kepada ibunya untuk pulang hari ini selepas menghantar barang di pantai timur.

Malangnya, kepulangan Nazli, 56, bukan seperti diharap ibunya, Siti Rudiah Mohd Kotib, 78, dan ahli keluarga mereka.

"Hari ini dia pulang juga, tetapi 'pulangnya' sebagai jenazah," kata Siti Rudiah yang bersedih dengan kehilangan itu.

Nazli meninggal dunia selepas lori dipandu jatuh gaung di Kilometer 43.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat Bentong, semalam. Turut meninggal dunia rakannya yang juga kelindan lori, Anwar Tushali Arimi Mualimin, 25.

Menurut Siti Rudiah, sehingga kini masih terngiang-ngiang di telinganya kata-kata Allahyarham yang mahu pulang hari ini.

"Kelmarin (Rabu) arwah meninggalkan rumah dalam keadaan ceria. Dia peluk dan dan cium saya sebelum minta izin keluar bekerja.

"Hari ini dia tinggalkan kami buat selama-lamanya," katanya yang memberitahu anaknya itu juga sempat membelikan makanan tengah hari buatnya sekeluarga.

Wanita itu juga berkata hanya mengetahui kemalangan menimpa anaknya selepas dimaklumkan oleh bapa kepada arwah Anwar Tushali.

"Dia datang ke rumah sambil menangis, memberitahu anaknya dan anak saya maut kemalangan. Pilu hati saya mendengar khabar itu dan hanya mampu berdoa sahaja supaya Allah mempermudahkan urusan.

"Arwah seorang anak yang baik, penyayang dan mesra. Dia juga rajin memasak dan sering berpesan kepada saya supaya tidak memasak kerana kesihatan saya tidak mengizinkan," katanya.

Kakak ipar Nazli, Zahratul Laila Samsuddin, 35, berkata, adik iparnya ada menghubunginya kira-kira dua jam sebelum kemalangan itu.

SITI Rudiah dan suaminya, Misnon Sidek memegang gambar arwah Nazli (baju merah) yang meninggal dunia dalam kemalangan semalam. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin.
SITI Rudiah dan suaminya, Misnon Sidek memegang gambar arwah Nazli (baju merah) yang meninggal dunia dalam kemalangan semalam. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin.

"Arwah beritahu 'tolong tengokkan rumah dan emak abah' di kampung. Tidak sangka itu pesanan terakhirnya," katanya.

Terdahulu, keluarga Siti Rudiah di Kampung Sungai Air Tawar, di sini menerima kunjungan Ketua Umno Bahagian Sabak Bernam, Datuk Abd Rahman Bakri yang hadir menziarahi mereka dan bertanya khabar.

Menurut Abd Rahman, arwah Nazli adalah kenalannya ketika mereka sama-sama menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Sabak Bernam.

"Arwah seorang yang mudah mesra dengan rakan. Berita kematiannya amat mengejutkan kami," katanya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Air Tawar pada 10 pagi, hari ini.

Berita berkaitan

2 maut lori terbabas jauh gaung

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 4:35 PM