DR Nor Hidayah menerima hadiah dimenangi sambil disaksikan rakan petugas barisan hadapan.
DR Nor Hidayah menerima hadiah dimenangi sambil disaksikan rakan petugas barisan hadapan.

Butterworth: Berjauhan dengan keluarga demi amanah dipertanggungjawabkan untuk berjuang melawan Covid-19 bukan sesuatu yang mudah terutama bagi mereka yang berstatus ibu.

Bagi pakar bius, Dr Nor Hidayah Zainool Abidin, 36, yang ditukarkan ke Pulau Pinang pada Februari lalu cekal menghadapi cabaran merantau seorang diri untuk melaksanakan tanggungjawabnya.

Dr Nor Hidayah berkata, dia terpaksa berjauhan dengan suami dan tiga anak lelakinya yang masih kecil ekoran tuntutan kerja sebagai petugas barisan hadapan bagi mendepani kemelut pandemik Covid-19.

"Sebelum ini saya bertugas di Kelantan, suami serta anak berada dengan saya namun saya akur dengan keputusan selepas diminta berpindah ke Pulau Pinang bagi membantu pasukan perubatan di sini membabitkan Hospital Seberang Jaya (HSJ), Hospital Bukit Mertajam (HBM) dan Hospital Kepala Batas (HKB).

"Panggilan video sahaja yang menjadi ubat saya melepaskan rindu kepada suami dan anak, bagi saya cukup mereka semua dalam keadaan baik, sihat maka saya okey," katanya yang dipilih sebagai pemenang kempen 30 Hari 30 Frontliners.

Menceritakan mengenai pengalamannya merawat pesakit Covid-19, Dr Noor Hidayah berkata, sehingga kini dia merawat hampir 500 pesakit yang mempunyai pelbagai kisah suka dan duka.

"Selama 10 tahun dalam profesion kedoktoran tidak dinafikan bahawa pandemik Covid-19 ini memberi cabaran amat besar sebagai petugas perubatan apabila saya merawat hampir 500 pesakit sejak wabak ini muncul sejak Mac tahun lalu.

"Paling mencabar apabila dalam keluarga sendiri iaitu suami saya pernah dijangkiti Covid-19 tahap empat manakala saya pula turut bergelut untuk merawat pesakit.

"Syukur dengan sokongan dan kerjasama berpasukan yang begitu baik antara satu sama lain, semua itu dapat diatasi dengan sebaiknya," katanya.

Covid-19 katanya, mengajar dirinya dan petugas barisan hadapan lain mengenai erti sebuah kehidupan serta kasih sayang sesama manusia.

"Kami memang berusaha menyelamatkan pesakit dan melakukan sedaya upaya yang boleh. Melihat keadaan pesakit yang tidak bernyawa amat merentap jiwa dan menyedihkan, namun terpaksa akur dengan ketetapan.

"Bagaimanapun, di saat melihat kematian, saya bersama pasukan juga mengalirkan air mata bila tengok ramai pesakit covid-19 yang survive melawan virus dan mereka sembuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 11:10 AM