SENAPANG jenis bakakuk yang dirampas daripada lelaki berusia 56 tahun yang disyaki tertembak rakannya ketika berburu di trek laluan hutan di Kampung Rantai Rosok, Kota Belud. FOTO/IHSAN POLIS
SENAPANG jenis bakakuk yang dirampas daripada lelaki berusia 56 tahun yang disyaki tertembak rakannya ketika berburu di trek laluan hutan di Kampung Rantai Rosok, Kota Belud. FOTO/IHSAN POLIS
Junaidi Ladjana

LELAKI ditahan selepas dikatakan tertembak rakan yang disangka babi hutan ketika berburu di trek laluan hutan di Kampung Rantai Rosok, Kota Belud.

Suspek berusia 56 ditahan di kawasan kampung berkenaan, 6.30 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata, hasil soal siasat, suspek mengaku keluar berburu bersama mangsa 7.30 malam pada 25 Julai lalu dan berpecah ketika masuk ke dalam hutan.

“Ketika di hutan, suspek melepaskan tembakan ke arah mangsa dari jarak hampir 50 meter kerana menyangka mangsa adalah babi hutan.

“Tembakan itu terkena rakannya (mangsa), lalu dia dengan dibantu anaknya segera membawa mangsa keluar, manakala senapang yang digunakannya dibuang akibat panik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, susulan tangkapan itu, polis turut merampas dua senapang jenis bakakuk dan sebutir kelongsong peluru kosong jenis penabur di kawasan Kampung Rantai Rosok.

“Suspek ditahan mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Dalam kejadian itu, mangsa cedera di beberapa bahagian badan akibat terkena tembakan dan dirawat di Hospital Queen Elizabeth 1 di Kota Kinabalu, namun keadaannya dilaporkan stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 11:19 AM