PEMANDU kereta yang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami dalam kemalangan jalan raya. FOTO ihsan PEMBACA
PEMANDU kereta yang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami dalam kemalangan jalan raya. FOTO ihsan PEMBACA
Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Seorang kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Krai meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua lori dan sebuah kereta di Kilometer 38, Jalan Kota Bahru-Kuala Krai di sini, jam 2 petang tadi.

Che Khairul Azwan Che Ab Rahman, 34, yang memandu Proton Satria Neo meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah dialami.

Ketua Polis Daerah Machang Deputi Superintendan Ganti Jimmy berkata, hasil siasatan awal, pemandu lori, Che Khairul Hafiiz Che Hasan, 27, yang datang dari arah Kuala Krai menghala ke Kota Bharu, berhenti di tengah jalan untuk membelok ke kanan dan masuk ke simpang sebuah kedai perabot.

"Bagaimanapun, sebuah lori dipandu Tiew Tin Sang, berusia 53 tahun, melanggar lori dipandu Che Khairul Hafiiz.

"Akibatnya, lori dipandu Che Khairul Hafiiz terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Proton Satria Neo mangsa," katanya dihubungi.

Mayat dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Machang Penolong Penguasa Bomba Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan jam 2.01 petang dan tujuh anggota dikerah ke lokasi.

"Tiba di lokasi, kami dapati dua mangsa tersepit membabitkan pemandu kereta dan pemandu lori.

"Kami mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan kedua-dua pemandu itu," katanya.

Menurut beliau, pemandu lori yang parah di kaki dibawa ke Hospital Machang untuk rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 7:14 PM