KEADAAN kereta mamgsa yang remuk dalam kemalangan di Kilometer 49.8 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Kampung Batu 30. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN kereta mamgsa yang remuk dalam kemalangan di Kilometer 49.8 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Kampung Batu 30. FOTO Ihsan Pembaca
Siti Nadzirah Che Mud


LELAKI maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 49.8 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Kampung Batu 30, Machang, hari ini.

Dalam kejadian pada 4.30 pagi, pemandu Perodua Viva Nik Mohd Khairul Zaman Nik Mohd Hata, 35, maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Machang Deputi Superintendan Dzulkifli Abd Ghani berkata, kemalangan berlaku apabila Proton Wira yang dinaiki lelaki, 32, dari arah Kota Bharu menghala Kuala Krai memperlahankan kereta berikutan melihat sebuah kenderaan di hadapannya membuat pusingan U.

“Bagaimanapun, mangsa yang mengekori dari belakang gagal mengawal kenderaan lalu melanggar bahagian belakang kanan Proton Wira.

“Akibat perlanggaran itu, kenderaan mangsa hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat, manakala rakan mangsa dan pemandu Proton Wira tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 5:52 PM