LELAKI warga asing parah akibat ditetak dalam pergaduhan di (DBKL) Taman Sri Sentosa, Kuala Lumpur, semalam. FOTO IHSAN PDRM
LELAKI warga asing parah akibat ditetak dalam pergaduhan di (DBKL) Taman Sri Sentosa, Kuala Lumpur, semalam. FOTO IHSAN PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Lelaki warga asing cedera akibat dikelar lelaki kurang siuman dalam pergaduhan berhampiran sebuah dewan di Taman Sri Sentosa, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Superintendan Basri Sagoni berkata, pihaknya menerima laporan dibuat seorang lelaki memaklumkan dua lelaki bergaduh dengan seorang daripadanya cedera akibat dikelar.

Menurutnya, pergaduhan itu dipercayai berlaku pada 8.20 malam ketika pengadu yang juga pengawal keselamatan berusia 52 tahun sedang bertugas di dewan berkenaan.

"Dalam kejadian itu, mangsa berusia 32 tahun parah pada pipi, leher dan siku sebelah kiri badan akibat dikelar dengan parang oleh suspek dipercayai warga asing yang kurang siuman.

"Suspek kemudian melarikan diri ke arah semak di belakang dewan di lokasi kejadian,"katanya dalam kenyataan, hari ini.

Basri berkata, susulan laporan itu, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menyerbu kawasan belukar di belakang sebuah stesen minyak di Taman Sri Sentosa kira-kira 10 malam.

"Dalam serbuan itu, kami menahan seorang lelaki disyaki warga asing berusia 31 tahun selain turut merampas pakaian dipercayai digunakan oleh suspek semasa kejadian bagi membantu siasatan.

"Kami turut menggunakan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan parang digunakan dalam kejadian itu, namun gagal ditemui.

"Manakala, saringan ujian air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah," katanya.

Menurutnya, suspek direman 14 hari bermula hari ini hingga 16 September depan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Motif kejadian itu masih belum dapat dikenal pasti kerana mangsa dan suspek tidak memberikan kerjasama dan enggan bercakap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 5:46 PM