Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mendahului 10 agensi barisan hadapan di Sabah menerima momento penghargaan daripada kerajaan negeri Sabah sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri hari ini.

Momento berkenaan disampaikan Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor pada upacara sambutan Hari Kebangsaan yang diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan di Dewan Bankuasi, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pagi ini.

Penerima lain momento daripada kerajaan negeri ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Imigresen Malaysia Sabah.

Selebihnya ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Sabah yang mewakili semua badan bukan kerajaan (NGO), Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Hajiji Noor (kiri) menyampaikan momento kepada wakil dari Jabatan Bomba dan Penyelamat. FOTO MOHD ADAM ARININ
Hajiji Noor (kiri) menyampaikan momento kepada wakil dari Jabatan Bomba dan Penyelamat. FOTO MOHD ADAM ARININ

Momento berkenaan yang ditandatangani Ketua Menteri Sabah mengandungi kata penghargaan kepada barisan hadapan yang dinukil khas bagi mengiktiraf dan menghargai semua barisan hadapan di Sabah yang terbabit secara langsung dalam tugas menangani pandemik Covid-19.

Hajiji dalam perutusannya sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri turut menyebut tema Hari Kebangsaan iaitu Malaysia Prihatin sebagai mencerminkan tekad kerajaan dan rakyat untuk memerangi pandemik Covid-19.

Katanya, keprihatinan rakyat Malaysia juga dapat dizahirkan dengan meraikan jasa dan pengorbanan semua petugas hadapan yang bertungkus lumus memastikan negara terus dilindungi serta selamat daripada pandemik Covid-19 dan ancaman keselamatan.

Hajiji Noor (kiri) menyampaikan momento kepada wakil dari Jabatan Kesihatan Negeri Sabah. FOTO MOHD ADAM ARININ
Hajiji Noor (kiri) menyampaikan momento kepada wakil dari Jabatan Kesihatan Negeri Sabah. FOTO MOHD ADAM ARININ

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 2:59 PM