PEJABAT Pendidikan Daerah (PPD) Muallim yang terletak bersebelahan SK Aminudin Baki beroperasi semula mulai esok.FOTO Rosman Shamsudin
PEJABAT Pendidikan Daerah (PPD) Muallim yang terletak bersebelahan SK Aminudin Baki beroperasi semula mulai esok.FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin

Slim River: "Inilah hadiah paling bermakna dan besar ertinya pada saya setelah genap setahun menjadi wakil rakyat," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim, Mohd Zaidi Aziz.

Mohd Zaidi berkata, berita gembira mengenai pengoperasian semula Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Muallim, bermula esok dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohammed Daud melalui teks ucapan Penggulungan Perbahasan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, semalam.

Beliau berkata, pengoperasian semula PPD Muallim itu sudah tentu memberi berita gembira kepada seluruh warga pendidikan termasuk penduduk setempat.

"Pengoperasian semula PPD berkenaan bakal memberi manfaat kepada warga pendidik, malah ibu bapa.

"Sejak awal saya dipilih menjadi wakil rakyat, saya meletakkan sasaran supaya pengoperasian semula PPD Muallim menjadi sasaran keberhasilan tugas dan sangat bersyukur impian dan cita-cita saya serta warga pendidik itu tercapai," katanya ketika dihubungi.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Slim 29 Ogos tahun lalu, Mohd Zaidi yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 10,945 mengalahkan dua calon Bebas iaitu bekas guru S Santharasekaran, 44, dan peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Mohd Zaidi berkata, lebih bermakna lagi pengoperasian semula PPD berkenaan bersamaan genap setahun beliau bergelar wakil rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 1:31 PM