Omar Ahmad


Johor Bahru: Lebih 129 Jalur Gemilang menghiasi bangunan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin di sini, sebagai satu usaha menaikkan semangat patriotik bukan sahaja dalam kalangan anggota tetapi masyarakat setempat.

Ketua BBP Larkin Mohd Suhaimi Abdul Jamal berkata, pemasangan bendera di bangunan berusia 58 tahun ini sangat bermakna dan sudah menjadi aktiviti wajib setiap tahun.

Menurutnya, lokasi BBP yang terletak bersebelahan jalan besar juga menjadi faktor pemasangan bendera seperti itu dapat menyampaikan mesej kemerdekaan kepada masyarakat sekitar.

"Kalau sebelum pandemik Covid-19, ada acara membabitkan pasukan beruniform seperti kami khususnya bagi perbarisan sempena Hari Kebangsaan.

"Tetapi sudah dua tahun sambutannya berbeza, kibaran Jalur Gemilang membuktikan semangat barisan hadapan seperti kami tidak pernah pudar dalam menyemarakkan bulan kemerdekaan.

"Untuk tahun ini, 129 jalur gemilang termasuk bendera Johor dan banting Malaysia Prihatin dipasang sekitar balai termasuk menara hos, jentera dan kenderaan jabatan. Pemasangan membabitkan semua anggota yang tersidi pelbagai bangsa sejak 10 Ogos lalu.

BALAI Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin dihiasi 129 Jalur Gemilang lambang semangat kemerdekaan. FOTO Omar Ahmad
BALAI Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin dihiasi 129 Jalur Gemilang lambang semangat kemerdekaan. FOTO Omar Ahmad

"Erti kemerdekaan kepada kami ketika ini ialah bersama masyarakat untuk memerangi musuh tidak nampak dengan memutuskan rantaian Covid-19,"katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, anggota bomba M Usharani, 53, yang sudah 31 tahun berkhidmat bersama pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, erti kemerdekaan perlu diterjemahkan oleh semua bangsa tanpa rasa malu.

Menurutnya, sebagai petugas barisan hadapan, kemerdekaan lebih bermakna sekiranya negara bebas dari ancaman Covid-19.

"Kita semua rakyat Malaysia kena bersatu hati dan kuat semangat untuk melawan pendemik ini. Ikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan sentiasa lindungi diri sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 3:38 PM