Siti Rohana Idris


Tumpat: Tepat jam 12 tengah malam tadi, siren jentera dan balai di seluruh 21 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di negeri ini dibunyikan serentak.

Siren yang dibunyikan selama satu minit diikuti kibaran Jalur Gemilang dan nyanyian itu adalah simbolik kepada sambutan Hari Kebangsaan dan disifatkan sebagai sambutan dalam norma baharu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Zainal Madasin berkata, pemasangan siren itu adalah inisiatif ibu pejabat JBPM negeri sebagai tanda meraikan tanggal 31 Ogos.

"Selama satu minit, siren di setiap balai akan dipasang serentak sambil anggota dan pegawai di balai masing-masing mengibarkan bendera disusuli nyanyian lagu Jalur Gemilang.

"Mereka juga akan merakamkan gambar kenangan memandangkan sambutan sebegini adalah julung kali diadakan memandangkan negara masih berada dalam pandemik (COVID-19) menyebabkan sambutan yang lebih meriah tidak dapat dijalankan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Zainal berkata, inisiatif sebegitu disambut baik setiap balai dan dilihat masih terasa kemeriahannya walaupun disambut dalam kelompok balai masing-masing sahaja.

Menurutnya lagi, untuk sambutan di peringkat ibu pejabat JBPM pula, setiap negeri mengikuti sambutan Hari Kemerdekaan 2021 JBPM yang diadakan secara maya.

Sementara itu, Ketua BBP Wakaf Bharu, Pegawai Bomba Kanan I, Nazah Nafi ketika ditemui tengah malam tadi, berkata, gimik pemasangan siren itu adalah satu kelainan yang masih dilihat relevan dengan tugasan mereka.

"Walaupun tiada sambutan besar-besaran dilakukan seperti sebelum ini, tapi kemeriahan masih lagi dirasai apabila dapat berkumpul bersama sambil mengibarkan bendera serta menyanyikan lagu Jalur Gemilang.

"Pengisian yang sama dikongsi rakan setugas lain mengenai sambutan di balai masing-masing dan saya anggap ia satu sambutan yang sederhana tapi amat bermakna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 11:06 AM
Tepat jam 12 tengah malam tadi, siren jentera dan balai di seluruh 21 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di negeri ini dibunyikan serentak. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Tepat jam 12 tengah malam tadi, siren jentera dan balai di seluruh 21 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di negeri ini dibunyikan serentak. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR