Lima pemburu haram yang ditahan dalam Op Bersepadu Khazanah. FOTO Ihsan PGA
Lima pemburu haram yang ditahan dalam Op Bersepadu Khazanah. FOTO Ihsan PGA
Juwan Riduan


Keningau: Dua remaja antara lima pemburu haram yang ditahan dalam Op Bersepadu Khazanah di Batu 38 Nabawan, sempadan Hutan Simpan Ulu Pinangah, dekat sini, semalam.

Operasi 4.10 petang itu membabitkan Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, semua suspek antara berusia 13 hingga 44 tahun ditahan ketika menaiki sebuah pacuan empat roda dan pihaknya turut menemui selaras senjata bakakuk bersama 17 butir peluru yang dipercayai untuk kegunaan berburu.

"Terdapat dua remaja berusia 13 dan 16 tahun. Semua suspek itu dipercayai melakukan aktiviti pemburuan di kawasan hutan simpan.

"Untuk itu, senjata api dan kenderaan yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM47,170 dirampas bersama barangan lain," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, semua suspek dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 5:08 PM