SUSPEK pemburu haram ditahan ketika berburu di kawasan hutan simpan di Ladang Sabah Sofwood, Dumpas, dekat sini, awal pagi semalam. FOTO Ihsan IPD TAWAU
SUSPEK pemburu haram ditahan ketika berburu di kawasan hutan simpan di Ladang Sabah Sofwood, Dumpas, dekat sini, awal pagi semalam. FOTO Ihsan IPD TAWAU
Abdul Rahemang Taiming


DUA dua lelaki disyaki pemburu haram ditahan di kawasan hutan simpan berdekatan sebuah ladang di Tawau semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, suspek berusia 40 dan 52 tahun itu ditahan di kawasan Ladang Sabah Sofwood, Dumpas, antara jam 2.30 hingga 3.30 pagi.

Beliau berkata, anggota Unit Penguatkuasaan Perhutanan yang menjalankan rondaan dan pemeriksaan di kawasan itu terserempak dengan suspek menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan.

"Kedua-dua suspek melarikan sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa namun salah seorang berjaya ditangkap.

"Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan membawa suspek pertama ke balai polis, anggota penguat kuasa sekali lagi terserempak dengan suspek kedua dan menahannya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Peter berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan menemukan dua laras senapang jenis buatan sendiri bakakuk bersama 12 butir peluru hidup jenis Buck Shot.

Turut dirampas dua motosikal bersama beberapa peralatan memburu termasuk dua parang panjang, pisau, walkie talkie, lampu suluh, bateri, dan telefon bimbit.

"Kedua-dua suspek yang berasal dari Kampung Merotai Besar, mengaku terbabit dalam aktiviti pemburuan haram sekitar daerah di sini, kemudiannya di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

"Kes masing-masing disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2020 @ 11:31 AM