EMPAT lelaki yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam pemburuan haram di Hutan Simpan Sipitang Ulu Tomani. FOTO ihsan PGA
EMPAT lelaki yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam pemburuan haram di Hutan Simpan Sipitang Ulu Tomani. FOTO ihsan PGA
Juwan Riduan


Tenom: Empat lelaki dipercayai melakukan kegiatan pemburuan haram di Hutan Simpan Sipitang Ulu Tomani, di sini, ditahan anggota Batalion 14, Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah, semalam.

Mereka berusia antara 18 hingga 22 tahun itu ditahan kira-kira jam 11 malam dalam Op Bersepadu Khazanah (OBK) yang turut disertai pegawai Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hidupan Liar dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, pasukan operasi turut merampas tiga laras senapang buatan sendiri jenis bakakuk bersama 17 butir peluru.

Katanya, semua suspek dikesan menaiki motosikal dipercayai dalam perjalanan menuju ke hutan simpan berkenaan.

"Siasatan awal mendapati semua suspek yang ditahan adalah warga tempatan yang berasal dari perkampungan berhampiran.

"Mereka dipercayai masuk ke hutan simpan untuk pemburuan haram," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Abduh berkata, keempat-empat suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, semua rampasan termasuk empat motosikal dianggarkan bernilai keseluruhan sebanyak RM20,970.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM 10,000 atau kedua-duanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 10:55 AM