ANTARA motosikal yang diperiksa. FOTO Ihsan Polis
ANTARA motosikal yang diperiksa. FOTO Ihsan Polis
Amirul Aiman Hamsuddin


PANTAI Redang, di Sekinchan, yang menjadi tumpuan warga setempat beriadah dan bersantai setiap hujung minggu, dicemari dengan kegiatan kumpulan ‘mat rempit’ yang menjadikannya tempat berkumpul dan berlumba.

Kumpulan terbabit bukan sahaja berlumba di kawasan itu hingga membahayakan pengunjung tetapi turut menimbulkan keadaan suasana bising dan mengganggu ketenteraman penduduk.

Susulan itu, polis melancarkan Operasi Bersepadu Cegah Lumba Haram dengan membuat serbuan dan mengepung kawasan terbabit, petang Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Suprintendan Nor Azmi Isa, sepanjang operasi bermula jam 6 petang dan berakhir 3 pagi semalam, pihak berkuasa memeriksa 170 kenderaan termasuk 168 motosikal.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, sebanyak 378 saman polis dan 37 notis Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Polis turut menahan empat individu membabitkan lelaki berusia 19 hingga 20 tahun kerana kesalahan narkotik dan seorang lagi atas kesalahan trafik,” katanya.

Menurut Nor Azmi, operasi itu membabitkan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.

Selain itu, ia dibantu JPJ Cawangan Sabak Bernam dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sabak Bernam.

“Operasi bersepadu bersama agensi lain seperti ini akan diteruskan bagi memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 2:52 PM