GAMBAR hiasan. Kit ujian kendiri. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. Kit ujian kendiri. FOTO Bernama
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pelupusan alatan kit ujian kendiri Covid-19 yang dibuat secara tidak berhemah dan dibuang merata-rata dibimbangi akan meningkatkan risiko jangkitan wabak.

Lebih berbahaya, ia bukan sahaja merisikokan pekerja perkhidmatan pengurusan sisa pepejal malah orang ramai.

Sehubungan itu, syarikat konsesi sisa pepejal SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) merayu kerjasama orang ramai untuk melupuskan sisa alatan kit ujian kendiri Covid-19 yang digunakan di rumah secara berhemah.

SWM Environment dalam kenyataan hari ini meminta orang ramai untuk melupuskan sisa alatan kit ujian kendiri berkenaan secara selamat dan teratur bagi mengelakkan risiko penularan jangkitan Covid-19.

"Ia adalah dengan menyembur cecair nyah kuman kepada kit ujian kendiri Covid-19 yang sudah digunakan, sebelum dimasukkan ke dalam bungkusan dan seterusnya dibuang ke dalam tong sampah beroda (TSB).

"Orang ramai sekali lagi diingatkan untuk melupuskan sisa pelitup muka secara berhemah dan selamat dengan membuangnya ke dalam tong sampah.

"Pembuangan sisa pelitup muka merata-rata boleh mendedahkan risiko jangkitan kepada pekerja pembersihan SWM Environment dan orang ramai serta menjejaskan kebersihan setempat," kata kenyataan itu.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) memberi perakuan dan kelulusan bersyarat untuk penggunaan alatan Kit Ujian Kendiri Covid-19 bagi memudahkan perlaksanaan saringan awal oleh orang ramai dilakukan secara kendiri di rumah.

Sementara itu, SWM Environment berkata, melalui Kempen Jom Kerja Selamat, syarikat itu akan terus memberi kesedaran kepada pekerjanya tentang pengendalian sisa berkaitan Covid-19.

"Ia termasuk tatacara pengendalian selamat membabitkan sisa alatan kit ujian kendiri dan sisa pelitup muka yang dibuang ke dalam TSB.

"Di samping itu, syarikat memastikan mereka sentiasa dilengkapi kelengkapan perlindungan diri (PPE) ketika bertugas dan membersihkan diri serta melaksanakan proses nyahjangkitan kenderaan selepas selesai tugasan di lapangan," kata kenyataan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 10:43 AM