TAN Sri Lee Lam Thye
TAN Sri Lee Lam Thye
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Masyarakat harus sentiasa berhati-hati dan tidak mengabaikan pengawasan kendiri walaupun kerajaan memberikan kelonggaran dengan membenarkan rentas negeri.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, masih terlalu awal untuk merayakan kebebasan yang diberikan dan terlalu cepat untuk hidup tanpa berhati-hati dengan situasi Covid-19 ketika ini.

"Ketika ini, ramai lagi yang tidak bertanggungjawab terutama dalam pengurusan pembuangan pelitup muka yang dibuang sesuka hati.

"Ramai juga yang masih lagi tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan lemah dalam kawalan kendiri. Disiplin kendiri masih tidak menjadi sebahagian dari norma kehidupan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lam Thye berkata, pihak berkuasa juga perlu sentiasa menyemak dan mengkaji semula SOP selepas memantau keadaan semasa dengan penuh teliti.

"Walaupun kita akan memasuki fasa endemik ini tidak bermakna pandemik covid-19 sudah tidak bahaya lagi.

"Statistik yang dilaporkan pada masa kini masih dalam keadaan membimbangkan terutamanya yang berkaitan kanak-kanak.

"Dilaporkan pada tahun ini terdapat kematian seramai 67 kanak-kanak iaitu 11 kali ganda berbanding hanya enam kematian pada 2020. Sehingga kini , dilaporkan seramai 400,668 kes Covid-19 yang membabitkan kanak-kanak di negara ini," katanya.

Menurutnya, masyarakat juga perlu berusaha sebaik mungkin untuk tidak mendedahkan risiko Covid-19 kepada golongan muda dan kanak-kanak.

"Bukan itu sahaja, amat penting juga bagi mereka yang berada dalam kategori berisiko tinggi untuk melakukan ujian kendiri secara berkala.

"Namun, kit ujian kendiri masih lagi dijual pada harga mahal dengan harga runcit RM19.90 seunit.

"Bagi golongan keluarga B40, dengan jumlah anak antara tiga hingga empat orang, jumlah untuk membeli kit ujian kendiri masih lagi dalam kategori membebankan. Ia lebih mahal berbanding jumlah mencukupkan makanan dapur dan keperluan harian," katanya.

Katanya, pihak berkuasa untuk mencari jalan penyelesaian untuk memastikan kit ujian kendiri dijual pada harga berpatutan jika tidak mampu memberikannya secara percuma.

"Tidak perlu tempoh sebulan untuk menyelesaikan kemelut ini. Kementerian berkaitan haruslah menyelesaikan masalah ini secepat mungkin kerana pada ketika ini, rakyat sudah disaran untuk melakukan ujian kendiri dengan lebih kerap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 8:29 PM