GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Dr Sharifah Norkhadijah Syed Ismail

Kuala Lumpur: Kit Ujian Kendiri Covid-19 digunakan sebagai ujian saringan individu mempunyai kelebihan untuk mengesan status Covid-19 dengan cepat dan mudah.

Ia boleh digunakan oleh mana-mana individu yang ingin mengetahui status Covid-19 terutamanya mereka yang mempunyai kontak dengan kes Covid-19 atau untuk saringan lain seperti saringan rentas negeri, saringan pra-pekerjaan, pra-kemasukan institusi tinggi dan lain-lain.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan Garis Panduan Pengurusan Kit Ujian Kendiri Covid-19 pada 24 Julai 2021.

Ini berketetapan dengan langkah kerajaan mengekang penularan wabak ini pada peringkat awal dan sebagai langkah persediaan untuk hidup bersama virus ini. Garis panduan ini menerangkan dengan jelas mengenai cara penggunaan Kit Ujian Kendiri Covid-19 bermula daripada awal prosedur ujian sehinggalah selepas prosedur disempurnakan.

Namun begitu, apa yang membimbangkan ialah bagaimana kit ini boleh dilupuskan dengan sewajarnya.

Garis panduan KKM menyarankan Kit Ujian Kendiri Covid-19 dimasukkan ke dalam plastik dan diikat dengan sempurna dan dilupuskan ke dalam tong sisa bersama sisa domestik.

Melupuskan sisa kit ini bersama-sama dengan sisa domestik adalah tidak wajar dilakukan dan bersifat tidak lestari.

Ini adalah kerana peralatan kit ini termasuklah spesimen air liur yang terkumpul dalam tiub ujikaji adalah bersifat biohazard dan diklasifikasikan sebagai sisa patogen, sisa klinikal atau sisa kuarantin.

Seharusnya sisa ini dilupuskan dengan sempurna di bawah Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Jadual Pertama SW404.

Mengikut peruntukan ini, bahan buangan klinikal yang dihasilkan daripada aktiviti perubatan dan kesihatan dikategorikan sebagai bahan buangan terjadual termasuk bahan buangan patogenik, bahan buangan klinikal atau bahan yang dikuarantinkan yang mempunyai ciri bahan buangan berjangkit. Ia perlu diurus dan dilupuskan di premis yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar di bawah Seksyen 18, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

Pengendalian biohazard yang tidak sempurna seperti pengambilan air liur, memindahkan air liur pada alat ujian, dan membuang sisa biohazard boleh menyebabkan pencemaran kepada persekitaran dan boleh menjadi sumber penyebaran wabak.

Sudah tiba masanya, pendekatan yang lebih lestari difikirkan bagi melupuskan bukan saja kit ujian kendiri ini tetapi sisa-sisa yang berkaitan dengan pencegahan Covid-19 seperti pelitup muka.

Pelitup muka ketika ini menjadi suatu pakaian wajib kita setiap hari dan tidak seharusnya dilupus bersama sisa domestik. Bagi mengelakkan beban serta risiko kesihatan dan pencemaran kepada pengurusan sisa pepejal perbandaran sedia ada, pelupusan yang sempurna untuk sisa pelitup muka dan lain-lain sisa infeksi seperti sarung tangan, apron dari isi rumah dan komuniti perlu dibangunkan.

Cabaran baru dalam pengurusan sisa plastik

Pandemik Covid-19 turut mewujudkan cabaran baharu dalam sistem pengurusan sisa plastik.

Dalam konteks pencegahan wabak ini, peranti perlindungan diri atau personal protective equipment (PPE) sangat diperlukan.

Sebilangan besar peranti ini terdiri daripada plastik sekali pakai seperti apron yang diperbuat daripada poliester atau polietilena, topeng pembedahan, sarung tangan, alat pernafasan N95, pelitup muka (polikarbonat atau polivinil klorida) serta produk pembersihan tangan dengan pembungkusan yang dibuat dengan polietilena terephthalate (PET) untuk alkohol.

Semasa puncak wabak, hospital di Wuhan menghasilkan lebih daripada 240 tan sampah setiap hari berbanding dengan 40 tan dalam keadaan biasa dengan sebahagian besar sisa terdiri daripada peranti perlindungan diri.

Pelitup muka adalah sumber serat mikroplastik yang berpotensi tinggi kemungkinan dilepaskan ke persekitaran.

Oleh itu, adalah perlu untuk merancang dan mempertimbangkan pemisahan, penyimpanan dan pengumpulan untuk mengitar semula dan membuang topeng muka dan sisa perubatan untuk mengurangkan sisa plastik dan menggunapakai teknologi alternatif.

Garis panduan pelupusan sisa Covid-19 bersepadu diperlukan

Memandangkan kita perlu hidup bersama virus ini, sudah tiba masanya garis panduan pelupusan sisa yang berkaitan dengan infeksi wabak bersepadu diwujudkan bagi membolehkan sisa ini diurus dengan lebih baik dan lestari. Ini dapat memelihara kesihatan individu serta alam sekitar untuk jangka masa panjang.

Lambakan Kit Ujian Kendiri Covid-19 yang dijana oleh industri turut mengundang kebimbangan.

Dengan langkah kerajaan yang mewajibkan semua pekerja sektor perkilangan dan pembuatan menjalani ujian saringan Rapid Test Kit-Antigen (RTK-Ag) sebanyak dua kali dalam tempoh seminggu bermula 7 Julai lalu dilihat dapat membantu mengurangkan penularan wabak Covid-19 pada peringkat awal terutamanya di Selangor.

Meskipun langkah ini mampu mengenal pasti kes jangkitan Covid-19 dengan lebih awal dan membolehkan pekerja yang disahkan positif untuk melaksanakan kuarantin kendiri seawal mungkin, namun dari perspektif pelupusan sisa, kit ujian kendiri ini adalah satu lagi cabaran dalam sektor pelupusan sisa yang perlu turut difikirkan.

DR Sharifah Norkhadijah Syed Ismail
DR Sharifah Norkhadijah Syed Ismail

Ketika ini tiada prosedur khas digariskan untuk industri mengenai kaedah pelupusan kit ini dengan sempurna. Sebaiknya, langkah prosedur pelupusan yang lebih sistematik dibentuk dan dilaksanakan bagi mengelakkan lambakan sisa ini di dalam tong sisa domestik yang boleh mengundang penularan wabak.

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) baru-baru ini memperkenalkan garis panduan bagi mengurus bahan buangan klinikal daripada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Garis panduan ini dikeluarkan susulan sisa klinikal yang dihasilkan kini meningkat 96 peratus berbanding ketika Covid-19 mula dikesan pada Disember 2019.

Sebagaimana yang dijangkakan oleh KASA dalam laporan akhbar, pelaksanaan PICK dijangka menambah sisa klinikal negara.

Anggaran 216 tan metrik picagari, 81 tan metrik jarum, 540 tan metrik bebuli vaksin kosong, 1,080 tan metrik peralatan perlindungan diri (PPE) dan 162 tan metrik tisu basah beralkohol akan terhasil.

Anggaran pertambahan 2,100 metrik tan sisa klinikal dalam tempoh 12 bulan pelaksanaan program imunisasi.

Sementara itu, garis panduan berkenaan antara lain memaklumkan tatacara pengurusan bahan buangan klinikal yang tertakluk bawah Akta 127 secara lestari, pembudayaan amalan hijau dan inisiatif yang bakal dilaksanakan bagi mengurang dan menyeimbangkan pelepasan gas rumah kaca.

Garis panduan ini juga tidak menggalakkan penggunaan plastik sekali guna (selain bagi tujuan perubatan) di PPV untuk pembudayaan amalan hijau manakala PPV juga dicadangkan untuk dilengkapi dengan kemudahan tong kitar semula mengikut jenis sisa pepejal bagi memudahkan proses pengasingan sisa.

Namun begitu, sehingga artikel ini ditulis, daripada hasil carian di laman sesawang, garis panduan ini tidak ditemui untuk dikongsi dengan orang awam atau mungkin sedang dalam usaha untuk dikongsikan.

Amalan pelupusan sisa Covid-19 di negara jiran

Sekiranya kita boleh ambil contoh pelupusan sisa Covid-19 di negara-negara jiran, Thailand sebagai contoh, meletakkan tong merah khas berlabel 'Untuk pelitup muka terpakai saja' di kawasan terbuka untuk mengelakkan pencurian pelitup muka terpakai untuk digunakan semula atau dijual semula.

Tong sisa ini dipisahkan dari sisa pepejal am. Isi rumah boleh menyimpan pelitup muka terpakai di dalam beg Ziploc sebelum dilupuskan di tong merah.

Pihak berkuasa mereka juga menyediakan tong khas ini di kawasan pihak berkuasa tempatan yang menyelia pengurusan sisa perbandaran.

Isi rumah dinasihatkan memisahkan sisa Covid-19 dalam beg yang berlainan jika tiada tong merah di kawasan itu dan melabelkan beg yang mengandungi sisa ini supaya kakitangan pelupusan dapat membuangnya dengan selamat. Sisa Covid-19 dipisahkan dan dilupuskan di fasiliti insinerator.

Di Wuhan, China, pelitup muka terpakai dikumpulkan di dalam tong sisa khas. Di Chongqing, bekas khas untuk mengumpulkan pelitup muka terpakai diletakkan di pintu masuk komuniti kediaman.

Sekiranya tiada kemudahan ini disediakan, pelitup muka terpakai akan dibungkus dalam beg plastik sebelum dibuang untuk mengelakkan kontak dengan udara. Manakala sisa pelitup muka yang digunakan oleh orang yang sihat dibuang bersama sisa domestik.

Sekiranya bekas sisa khas tidak tersedia, penduduk perlu melakukan proses nyah kuman pada pelitup muka dan memasukkannya ke dalam beg plastik tertutup.

Di India, pelitup muka terpakai disimpan di dalam beg kertas selama 72 jam sebelum dibuang sebagai sampah umum.
Greater Chennai Corporation (GCC) menasihati isi rumah yang tidak dikuarantin untuk membuang pelitup muka terpakai dengan menyah kuman menggunakan larutan peluntur biasa (lima peratus) atau larutan natrium hipoklorit (satu peratus).

Pelitup muka dibungkus dan disimpan dalam tong tertutup sebelum diberikan kepada pekerja kebersihan. Sisa ini dianggap sebagai sisa berbahaya domestik dan dibakar.

Di Korea Selatan, pelitup muka dari isi rumah dibuang ke dalam beg sisa berlabel 'Sisa untuk pembakaran / insinerator' dan 'Sisa untuk tapak pelupusan sisa'.

Sisa yang boleh dikitar semula dipisahkan dari beg itu untuk pengangkutan ke kemudahan kitar semula.

Sisa pelitup muka terpakai mesti dibakar atau dibuang di tempat pembuangan sampah tanpa kitar semula.

Sama seperti di negara kita, Singapura, melupuskan pelitup muka dan sisa yang berkaitan, seperti tisu, dengan potensi pendedahan kepada pencemaran Covid-19 diuruskan seperti sampah perbandaran biasa yang tidak tercemar.

Cadangan sistem pengurusan sisa Covid-19

Secara umumnya pengurusan sisa klinikal mahupun domestik melalui beberapa fasa iaitu bermula dari fasa pra-rawatan, pengasingan, penyimpanan, penghantaran, pengumpulan, pengangkutan dan pembuangan.

Setiap fasa ini berpotensi untuk menjadi ejen penyebaran SARS-CoV-2, terutama melalui kontak dengan permukaan dan objek yang tercemar.

Oleh itu, semua langkah berjaga-jaga perlu diambil untuk mencegah kemungkinan penyebaran virus berjangkit dan garis panduan yang sesuai harus dikemukakan.

Garis panduan itu juga harus mempertimbangkan keadaan dan teknologi sosio-ekonomi negara. Sisa klinikal mesti dirawat dengan cara pembakaran dan dilupuskan di tapak pelupusan yang selamat.

Oleh itu, keutamaan diberikan kepada pembakaran suhu tinggi untuk memproses sisa perubatan yang berkaitan dengan Covid-19.

Antara kaedah pengurusan sisa Covid-19 yang boleh dicadangkan untuk dipraktiskan adalah seperti berikut;

•Wujudkan tong sisa khas di kawasan komuniti terbuka seperti di kawasan lapang taman rekreasi, di pintu masuk pusat membeli belah, di stesen minyak bagi membolehkan orang ramai melupuskan sisa Covid-19 dengan lebih baik dan sisa ini boleh diambil oleh syarikat konsesi yang berdaftar untuk melupuskannya dengan sempurna. Ini dapat membantu melupuskan sisa klinikal Covid-19 dengan selamat dan bersistematik. Namun begitu, langkah pengawasan dengan meletakkan penguasa diperlukan sekiranya tong sisa khas diletakkan di kawasan awam. Ianya bagi mengelakkan sebarang tindakan vandalism yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

•Mewujudkan pusat pengumpulan sisa Covid di pusat pemberian vaksinasi (PPV). Ini akan membantu orang awam untuk melupuskan sisa klinikal mereka dengan teratur. Kebolehan PPV ini perlu dikaji dari segi saiz dan fasiliti tong sisa khas yang perlu diwujudkan bagi tujuan ini.

•Wujudkan kaedah pembuang sisa klinikal pandu lalu. Sebagaimana vaksin boleh diberikan melalui kaedah pandu lalu, maka tidak mustahil, pembuang sisa klinikal Covid-19 isi rumah boleh dilaksanakan menggunakan kaedah yang sama. Ini bagi membolehkan komuniti melupuskan sisa infeksi terkumpul yang lebih baik dan lebih mudah tanpa berasa kurang enak mengendong beg sisa infeksi ini ke tempat awam.

•Sektor industri kini turut berhadapan dengan cabaran untuk melupuskan sisa infeksi Covid-19 daripada kit ujian kendiri kakitangannya. Oleh itu dicadangkan untuk industri yang kecil atau sederhana untuk menghantar sisa ke klinik berdaftar untuk pelupusan sisa ini. Bagi industri mega, mereka boleh melanggan perkhidmatan pengutipan sisa klinikal dari syarikat berdaftar.

•Wujudkan beg khas untuk sisa klinikal ini bagi isi rumah dan industri, bagi membolehkan semua sisa klinikal dipisahkan dari sisa-sisa lain dan dilabel dengan sempurna.

Banyak lagi kaedah-kaedah lain yang bersesuaian yang boleh difikirkan bersama bagi mengatasi masalah pelupusan sisa Covid-19 ini. Ia memerlukan komitmen dari setiap pemegang taruh dan individu bagi membolehkan sistem pengurusan bersepadu dilaksanakan. Ambil cabaran ini sebagai sesuatu yang positif yang dapat menambahbaik sistem kehidupan kita dan mewujudkan persekitaran yang lestari.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan

Pemikir, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS)

Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 10:46 AM