Ruwaida Md Zain
am@metro.com.my


Shah Alam: Sebanyak 316 masjid, 322 surau serta 250 pusat tahfiz bernaung di bawah Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) yang terkesan akibat pandemik covid-19 diberi bantuan segera.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, MAIS memberi sumbangan RM537,500 bagi menampung keperluan masjid, surau dan pusat tahfiz di Selangor susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 3.

"Daripada jumlah itu, sebanyak RM337,500 diperuntukkan kepada 316 masjid dan 322 surau terpilih mengikut senarai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan masing-masing menerima bantuan sebanyak RM500.

"Sebanyak RM200,000 disumbangkan kepada PITAS membabitkan 250 maahad tahfiz yang terjejas bagi keperluan kos utiliti dan sewaan bangunan di samping penyediaan kemudahan pembelajaran serta kebajikan pelajar tahfiz di negeri ini.

"Sumbangan berbentuk wang tunai itu diberikan menerusi peruntukan Baitulmal MAIS dan pembayaran akan dikreditkan secara berperingkat kepada penerima," katanya.selepas menyampaikan simbolik replika cek MAIS kepada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid, JAIS, Hazman Che Mohamed dan Pengerusi PITAS, Muhamad Hafiz Mohamad Haneefa di Bangunan Sultan Idris Shah di sini, tadi.

Abdul Aziz (dua dari kiri) menyerahkan replika cek berjumlah RM337,500 bagi mewakili 638 buah masjid dan surau seluruh Selangor kepada Ustaz Hazman (dua dari kanan) pada Program Sumbangan Bantuan Masjid, Surau dan Pusat Tahfiz Seluruh Selangor yang terkesan akibat pendemik Covid-19 di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Abdul Aziz (dua dari kiri) menyerahkan replika cek berjumlah RM337,500 bagi mewakili 638 buah masjid dan surau seluruh Selangor kepada Ustaz Hazman (dua dari kanan) pada Program Sumbangan Bantuan Masjid, Surau dan Pusat Tahfiz Seluruh Selangor yang terkesan akibat pendemik Covid-19 di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR

Turut hadir Setiausaha MAIS sama Dr. Ahmad Shahir Makhtar.

Abdul Aziz berkata, MAIS berharap bantuan yang disalurkan itu dapat meringankan beban bagi keperluan masjid, surau dan pusat tahfiz untuk menampung bayaran bil-bil utiliti serta lain-lain keperluan kecil sepanjang pelaksanaan PKP Fasa 3 sejak 25 Mei 2021.

"Kita sedia maklum, biasanya setiap hari masjid dan surau menerima sumbangan daripada jemaah yang datang menunaikan solat Jumaat dan fardu tetapi sejak pandemik hanya beberapa pentadbir masjid yang sihat sahaja dibenarkan.

"Apabila jumlah kehadiran dihadkan, maka masjid dan surau berdepan masalah kewangan terutamanya di kampung-kampung.

"MAIS juga sedang berusaha membangunkan satu sistem aplikasi bagi membolehkan jemaah menyumbang melalui dalam talian walaupun tidak dapat ke masjid dan surau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 7:13 PM