TAN Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (tengah) menyerahkan replika cek kepada Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa (kanan) sambil disaksikan Dr Ahmad Shahir Makhtar. FOTO IHSAN MAIS
TAN Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (tengah) menyerahkan replika cek kepada Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa (kanan) sambil disaksikan Dr Ahmad Shahir Makhtar. FOTO IHSAN MAIS
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyumbang RM100,000 kepada Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) bagi penyediaan kemudahan pembelajaran serta kebajikan pelajar tahfiz di negeri ini.

Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, sumbangan berkenaan disalurkan menggunakan peruntukan baitulmal MAIS.

Menurutnya, MAIS berharap bantuan itu dapat membantu Maahad Tahfiz menyediakan kemudahan pembelajaran yang sempurna di samping menjaga kebajikan pelajar tahfiz pada masa akan datang.

"Sumbangan yang menggunakan peruntukan baitulmal MAIS itu diserahkan kepada PITAS selaku penggerak utama Institusi Tahfiz Al-Quran persendirian di negeri ini melalui Tabung Prihatin PITAS.

"Pemilihan penerima sumbangan bantuan ini berdasarkan permohonan PITAS bagi membantu menaiktaraf kemudahan infrastruktur pembinaan bangunan Maahad Tahfiz di sekitar Selangor mengikut ketetapan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)," katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Terdahulu, satu majlis simbolik penyerahan replika cek disampaikan oleh Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof kepada Pengerusi PITAS, Ustaz Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa di Pejabat Pengerusi MAIS, Bangunan Sultan Idris Shah.

Sementara itu, Muhamad Hafiz mengucapkan ribuan terima kasih kepada MAIS atas sumbangan yang diberikan.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dan teruja atas sumbangan ini, insya-Allah sumbangan MAIS yang kami terima ini akan dimasukkan ke dalam Tabung Prihatin PITAS bagi membantu menaiktaraf kemudahan sebanyak 411 Maahad Tahfiz di bawah PITAS mengikut keperluan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 1:24 PM