GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuliaty Zulkiffli


Pendang: Wanita dipercayai tokan dadah tidak sempat menghantar bekalan kepada pelanggannya apabila ditahan polis di tepi jalan Felda Sungai Tiang, di sini, semalam.

Wanita berusia 30-an itu ditahan jam 6.30 petang oleh sepasukan anggota Balai Polis Sungai Tiang, di sini.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, anggota yang melakukan rondaan cegah jenayah ternampak suspek berada di kawasan itu.

Katanya, suspek ditahan dalam keadaan mencurigakan dalam keretanya.

"Hasil pemeriksaan polis menemui satu bungkusan plastik putih yang di dalamnya mengandungi 39 paket lutsinar mengandungi serbuk atau ketulan putih disyaki heroin.

"Anggaran berat dadah berkenaan sekitar 185.67 gram," katanya ketika dihubungi hari ini.

Arriz Sham berkata, wanita itu ditahan untuk siasatan lanjut dan hasil ujian saringan awal air kencingnya mendapati dia negatif dadah.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Siasatan masih dijalankan untuk mengetahui dari mana bekalan dadah itu diperolehi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Ogos 2021 @ 10:36 AM