Sebahagian penagih yang ditahan di port dadah di alor tok leh, Kampung Baru, Sungai Tiang dalam operasi polis dan AADK. FOTO IHSAN AADK
Sebahagian penagih yang ditahan di port dadah di alor tok leh, Kampung Baru, Sungai Tiang dalam operasi polis dan AADK. FOTO IHSAN AADK
Zuliaty Zulkiffli


Pendang: Seramai 15 'mat gian' ditahan dalam serbuan di kawasan semak yang dipercayai menjadi 'port' penagihan dadah di Alor Tok Leh, Kampung Baru, Sungai Tiang, sini, semalam.

Serbuan pada jam 12.30 tengah hari itu dijalankan selepas mendapat aduan daripada penoreh getah yang kerap kehilangan getah beku dipercayai dicuri penagih dadah.

Serbuan dilakukan anggota dari Balai Polis Sungai Tiang serta anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pendang.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, hasil pemeriksaan terhadap dua lelaki berusia 20-an dan 50-an menemui dua paket plastik lutsinar dan satu keratan straw pendek yang mengandungi serbuk serta ketulan disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 0.71 gram.

"Kedua-dua lelaki itu kemudian diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

"Sementara 13 individu lain berusia sekitar 20-an dan 30-an yang turut ditahan diserahkan kepada AADK Pendang untuk tindakan lanjut," katanya di sini, hari ini.

Arriz Sham berkata, pihak polis turut mengesan beberapa tokan dadah yang menjual bekalan dadah kepada penagih di sekitar di kawasan itu.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 4:31 PM