Mahmoud Hussien (kiri) mengadakan pertemuan dengan Dr Zulkifli hari ini. Foto Ihsan FB Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Mahmoud Hussien (kiri) mengadakan pertemuan dengan Dr Zulkifli hari ini. Foto Ihsan FB Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Samadi Ahmad

Putrajaya: Kadar vaksinasi negara yang merupakan antara terpantas di dunia mendapat penghormatan dan pengiktirafan kerajaan Arab Saudi.

Perkara itu dikongsi Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Mahmoud Hussien Saeed Qattan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kunjunganya di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, perkara itu membolehkan Malaysia disenaraikan antara 49 negara yang diberi kelulusan oleh Arab Saudi bagi tujuan pelancongan termasuk umrah bermula 1 Ogos lalu.

Menurutnya, ia turut disokong dengan keberkesanan vaksin yang memperlihatkan 98.1 peratus kes hanya di tahap satu dan dua serta kadar kesembuhan 81.37 peratus menzahirkan sistem pengurusan kesihatan Malaysia yang teratur.

Katanya, walaupun Malaysia mempunyai kes jangkitan positif Covid-19 yang tinggi, namun kadar vaksinasi yang amat pantas memberi kepercayaan penuh kepada kerajaan Arab Saudi untuk membuka pintu negaranya kepada Malaysia bagi tujuan pelancongan.

"Buat masa ini kerajaan Malaysia masih menunggu kenyataan rasmi daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berhubung permohonan visa umrah bagi rakyat Malaysia," katanya yang dikongsi di Facebook miliknya.

Zulkifli berkata, beliau menyeru kepada umat Islam di negara ini untuk memperbanyakkan doa dan munajat kepada Allah SWT agar pandemik Covid-19 segera pulih agar rakyat dapat kembali menziarahi Tanah Suci Makkah dalam masa terdekat.

Katanya, hubungan erat antara Malaysia dan Arab Saudi akan terus diperkukuh bagi manfaat kedua-dua negara.

Sementara itu, beliau turut menghargai sumbangan satu juta dos vaksin Astrazeneca (AZ) dan 4.5 juta unit pelbagai bantuan perubatan daripada Raja Salman Abdulaziz dan Putera Mahkota Muhammad Salman melalui King Salman Humanitarian Aid and Relief Centre (KSrelief).

Menurutnya, hanya Allah SWT yang layak mengganjari Khadimul Haramain Al-Syarifain, Putera Mahkota dan kerajaan Arab Saudi atas sumbangan diberikan itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 12:01 AM