Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Polis Johor menumpaskan kegiatan pemprosesan dan pengedaran arak tiruan selepas menyerbu sebuah rumah kediaman di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai di sini, semalam membabitkan nilai keseluruhan rampasan dan cukai bernilai RM3.14 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata serbuan turut menahan enam lelaki termasuk empat warga Myanmar disyaki terbabit secara langsung dalam penyeludupan arak tiruan dan tidak bercukai itu.

Katanya, bertindak atas maklumat Op Kontraban, sepasukan anggota Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU) melakukan serbuan kira-kira jam 8.10 pagi.

"Pemeriksaan mendapati arak tiruan pelbagai jenama yang dihasilkan itu menggunakan pelekat kastam disyaki palsu yang dibuat sendiri oleh suspek.

"Kesemua yang ditahan berusia antara 27 hingga 41 tahun itu dipercayai pekerja bawahan dalam premis berkenaan dan siasatan awal percaya kegiatan itu beroperasi sejak lima bulan lalu bagi pasaran tempatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Ayob Khan (dua dari kanan) menunjukkan barang rampasan pada sidang media di IPK Johor, Johor Bahru. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Ayob Khan (dua dari kanan) menunjukkan barang rampasan pada sidang media di IPK Johor, Johor Bahru. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI

Ayob Khan berkata, rampasan membabitkan 244 kotak arak pelbagai jenama, 20 tong mengandungi 4,000 liter pati arak, dua tong mengandungi 400 liter pati arak dan 43 botol pati arak.

Katanya, turut dirampas, 20,000 pelekat kastam disyaki palsu, tujuh telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kereta Nissan Cefiro dan sebuah lori Daihatsu Delta dengan keseluruhan nilai rampasan adalah RM3.14 juta.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 75 Akta Eksais 1976 bagi kesalahan membuat, memproses arak dan memiliki peralatan membuat arak.

"Dua suspek warga tempatan direman selama 10 hari bermula hari ini sehingga 12 Ogos ini, manakala empat warga Myanmar direman 14 hari bermula hari ini sehingga 16 Ogos ini," katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh 1 Julai hingga 2 Ogos lalu, Batalion 5 PGA sudah menahan 22 lelaki termasuk 12 warga asing dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM4.5 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 2:54 PM