Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kerajaan negeri menafikan pemilihan ECK Group of Companies (ECK) untuk menyertai usaha sama membangunkan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dibuat atas dasar kroni sebaliknya syarikat itu diyakini mempunyai dana mencukupi untuk melaksanakan projek berkenaan.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini berikutan syarikat itu berjaya membuktikan mereka memiliki dana sebanyak RM1.5 billion bagi fasa pertama projek terbabit dan RM5 billion bagi fasa kedua.

"Berdasarkan kertas cadangan dikemukakan, syarikat itu berjaya membuktikan ia memiliki dana untuk projek yang kita mahu laksanakan. Syarikat lain yang memohon memang banyak syarikat tapi tidak ada 'proof of fund'.

"Dengan syarat dalam tempoh enam bulan syarikat ini perlu lengkapkan sebuah syarikat bertujuan khas (SPV). Kena beri commitment fee di Pejabat Tanah dan Galian sebanyak 120 peratus anggaran kos pengambilan tanah dan mesti melepasi 'due diligence' yang ditetapkan KXP AirportCity Holdings Sdn Bhd.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO ASYRAF HAMZAH
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO ASYRAF HAMZAH

"Tak ada isu kroni, kita beri kelulusan selama enam bulan kepada mereka untuk tubuhkan SPV dan melantik ahli lembaga pengarah SPV. Selepas enam bulan kalau fail (gagal), kita akan pelawa dan lantik syarikat lain yang mempunyai keupayaan kewangan untuk menjadi rakan kongsi," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan pembangkang yang mempersoalkan pemilihan ECK menyertai usahasama membangunkan KXP sedangkan syarikat itu tidak mempunyai pengalaman dalam projek berskala besar.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, kerajaan negeri perlu menyatakan secara telus kriteria yang melayakkan ECK terbabit dalam usahasama itu, termasuk menubuhkan SPV.

Muhammad Sanusi berkata, isu utama yang membelenggu projek pembinaan lapangan terbang itu adalah masalah kewangan selepas kerajaan persekutuan tidak mampu menyediakan pinjaman kepada kerajaan negeri buat masa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 9:47 PM