Raja Noraina Raja Rahim dan Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati dalam memberi kelonggaran kepada individu yang mendapat suntikan vaksin lengkap, berikutan penularan varian Delta.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata, paling penting adalah kawalan kesihatan awam dan suntikan imunisasi untuk mencapai imuniti kelompok.

"Kelonggaran untuk mereka yang sudah lengkap vaksin akan diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam masa terdekat.

"Kita mengambil kira perkembangan seluruh dunia untuk memberi kelonggaran kepada mereka yang sudah mendapat vaksinasi lengkap.

"Ini bagi memastikan supaya kita tidak membuka sekatan terlalu awal. Kita perlu terima hakikat penularan varian delta Covid-19 ketika ini," katanya pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) secara maya hari ini.

Sebelum ini, kerajaan Singapura membuat keputusan menarik balik kelonggaran sekatan pergerakan, berkaitan aktiviti sosial bagi membendung lonjakan kes jangkitan Covid-19.

Keputusan itu susulan peningkatan semula kes jangkitan wabak berkenaan, sekali gus menyaksikan larangan makan di gerai dan restoran selama empat minggu dikuatkuasakan mulai 22 Julai lalu.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, banyak negara yang mencapai liputan pemberian vaksin kembali menguatkuasakan pemakaian pelitup muka disebabkan penularan wabak.

Justeru, katanya, kawalan kesihatan awam masih perlu diteruskan selain pemberian vaksin kepada penduduk.

"Berdasarkan data, pemberian vaksin di Labuan dan Sarawak merekodkan perkembangan positif apabila kadar kematian dan kemasukan ke hospital dapat dikurangkan.

"Sarawak menerima lebih banyak bekalan Sinovac, manakala Labuan dan Sabah yang pernah diancam varian Delta memperoleh bekalan Pfizer.

"Namun negeri berkenaan berupaya merekodkan pengurangan kadar kemasukan ke hospital dan kematian. Kita harap pola kesan sama dapat direkodkan di Kuala Lumpur serta Selangor dalam tempoh beberapa minggu akan datang," katanya.

Katanya, ia selari usaha kerajaan ke arah mengagihkan lebih banyak vaksin secara secepat mungkin bagi penduduk di Lembah Klang.

Peningkatan kes di negara ini dilihat semakin membimbangkan, terutama sejak beberapa minggu

kebelakangan ini dengan kes tertinggi dicatatkan Sabtu lalu membabitkan 17,786 kes jangkitan.

Turut menunjukkan peningkatan kes kematian harian akibat Covid-19.

Khairy Jamaluddin pada sidang media. FOTO BERNAMA
Khairy Jamaluddin pada sidang media. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 4:06 PM