VAN polis yang dalam perjalanan membawa OKT kes rogol kemalangan di Kampung Beta Hulu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
VAN polis yang dalam perjalanan membawa OKT kes rogol kemalangan di Kampung Beta Hulu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Sebuah van polis yang dalam perjalanan membawa dua orang kena tuduh (OKT) kes rogol ke Mahkamah Kota Bharu terbabit kemalangan di Kampung Beta Hulu, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9.40 pagi itu, van Hiace itu berlanggar dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova yang ketika itu mahu membelok ke kanan.

Disebabkan kemalangan itu, dua OKT kes rogol dalam kenderaan itu yang sepatutnya dituduh pagi tadi terpaksa ditangguhkan ke tarikh lain.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, ketika kejadian kenderaan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai dalam perjalanan ke Mahkamah Kota Bharu untuk urusan pertuduhan dua kes rogol.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, van polis yang dinaiki empat anggota termasuk seorang pegawai dan dua OKT cuba memotong Toyota Innova namun pada masa sama kenderaan itu cuba membelok ke kanan.

"Disebabkan jarak yang dekat, berlaku pelanggaran menyebabkan pegawai polis berusia 32 tahun cedera ringan di tangan kiri, manakala pemandu Toyota Innova berusia 19 tahun cedera di kaki kanan.

"Tiga lagi anggota polis dan dua OKT tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 6:07 PM