Annuar Musa
Annuar Musa
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Tidak sepatutnya menjalani proses kuarantin covid-19 di dalam unit pangsapuri sempit apatah lagi jika turut dihuni ramai ahli keluarga lain.

Menyedari masalah ini, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menyediakan empat Pusat Kuarantin Risiko Rendah Swasta (PKRCS) secara percuma kepada penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dijangkiti covid-19.

Menterinya, Tan Seri Annuar Musa, berkata, penyediaan PKRCS khas kepada pesakit covid-19 dalam kategori satu dan dua itu bagi mengelakkan berlakunya jangkitan dalam kalangan keluarga.

"Pada masa ini mereka yang didapati positif covid-19 tetapi tidak bergejala (kategori satu) atau bergejala ringan (kategori dua) dikehendaki melaksanakan kuarantin kendiri di rumah masing-masing.

"Namun, kita dapati ramai dalam kalangan mereka yang terbabit mendiami rumah yang sempit dan sesak terutama keluarga B40 di PPR dan PA DBKL yang tidak sesuai untuk menjalani kuarantin kendiri.

"Oleh itu, penyediaan PKRCS secara percuma ini dapat membantu golongan yang tidak berkemampuan untuk mengelakkan peningkatan kes positif berpunca daripada kontak rapat dalam kalangan ahli keluarga," katanya tadi.

Annuar berkata, penduduk dijangkiti itu juga tidak mampu untuk ke Pusat Kuarantin dan PKRCS berbayar.

"Disebabkan itu pihaknya mengadakan perbincangan dengan pelbagai agensi berkaitan dan memutuskan untuk memindahkan dan menempatkan sebilangan mereka yang positif bagi kategori berkenaan di beberapa hotel yang dikhususkan sebagai PKRCS khas," katanya.

Annuar Musa berkata, empat PKRCS khas yang ditempatkan di sekitar Kuala Lumpur ialah di Hotel Royal Chulan, Jalan Conlay; Pusat Belia Antarabangsa (IYC) di Bandar Tun Razak, Cheras; Tamu Hotel Kampong Baru serta Hotel Travelodge City Centre.

"Operasi untuk memindahkan kira-kira 1,000 orang itu sudah bermula hari ini dan turut mendapat kerjasama Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), KWP, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPKL) dan beberapa agensi dan jabatan kerajaan yang berkaitan.

"Pihak kementerian juga sedang berusaha untuk menyediakan lebih banyak kemudahan pusat rawatan covid-19 di Wilayah Persekutuan bagi membantu golongan yang menghadapi masalah kuarantin kendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 7:58 PM