M Hifzuddin Ikhsan


Sungai Petani: Pekerja industri tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya sebagai punca peningkatan kes Covid-19 di Kedah berikutan jangkitan dalam komuniti didapati lebih tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata, data yang diperoleh pihaknya menunjukkan kes positif dalam kalangan pekerja industri hanya dalam lingkungan enam hingga lapan peratus sahaja.

Katanya, maklumat setakat 4 Julai lalu turut menunjukkan 70 peratus kes jangkitan Covid-19 adalah membabitkan penyebaran dalam komuniti, manakala 30 peratus adalah membabitkan kluster dengan 62 peratus daripadanya berlaku di tempat kerja.

"Terdapat persepsi tanpa fakta dan data mengatakan kenaikan kes Covid-19 di Kedah disebabkan pekerja industri, menyebabkan ada pihak industri berasa kecil hati.

"Bukan semua pekerja industri dijangkiti di tempat kerja kerana mereka duduk di kampung dan taman, selain pekerja warga asing pula duduk di kawasan sekitar.

"Disebabkan itu, kita tidak boleh tuding jari pada pekerja industri semata-mata kerana jangkitan dalam komuniti adalah lebih tinggi," katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas), di sini, hari ini.

Ku Abd Rahman berkata, sumbangan pihak industri kepada ekonomi sangat besar selain terdapat ramai rakyat bekerja dalam pelbagai industri yang menyumbang sehingga hampir RM1 trilion nilai eksport kepada Malaysia.

Dr Ku Abd Rahman (dua kiri) ketika melawat Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di kilang Minebea Electronics Motor (M) Sdn Bhd. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Dr Ku Abd Rahman (dua kiri) ketika melawat Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di kilang Minebea Electronics Motor (M) Sdn Bhd. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

"Daripada industri ini kita mengeksport pelbagai barangan dan memperoleh tukaran wang asing sehingga menjadi antara pemangkin ekonomi utama di Kedah dan Malaysia.

"Selama ini, kita berusaha memujuk dan menjemput pelabur luar membuka industri di sini, jadi kita tidak mahu mereka beralih ke lokasi lain kerana negara seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam turut cuba menarik pelaburan.

"Jadi saya merayu kepada pihak berkenaan, berhenti tuding jari kepada industri dan pekerjanya sahaja.

"Kita sepatutnya berusaha bersama mengekang jangkitan COVID-19 melalui pendekatan lain," katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri menyasarkan lebih 100,000 pekerja industri seluruh Kedah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin seawal-awalnya pada Oktober ini, di bawah program Pikas.

Katanya, program vaksinasi berkenaan giat dilakukan di daerah Kulim dan Kuala Muda sebelum akan diperluas ke Kota Setar dan Kubang Pasu mulai minggu hadapan, bergantung kepada bekalan vaksin yang diterima negeri.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 2:45 PM