GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 13 lokaliti di Kuala Lumpur, Sarawak dan Sabah bermula Ahad ini hingga 7 Ogos depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perintah itu dikenakan selepas Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19.

Menurutnya, enam lokaliti di Kota Kinabalu, Sabah yang menjalani perintah itu adalah Taman Sepanggar, Blok D dan Blok E Apartmen Angkasa, Bandar Sinsuran, Kampung Sepakat Jaya, Kampung Rampayan serta Kampung Lokub.

"Di Sandakan, Sabah pula dua lokaliti dikenakan PKPD iaitu Kampung Berhala Darat dan Kampung Melayu Bumiputera, selain Kampung Kolam di Kudat turut dikenakan perintah berkenaan.

"Satu lokaliti di Papar, Sabah, iaitu Kampung Nagapas, Jalan Kebun Lama turut dikenakan PKPD selain Taman Sabana Fasa 1 di Keningau, Sabah.

"Dua lagi lokaliti dikenakan PKPD adalah Taman Hock Ann, Jalan Klang Lama, di sini, serta Kuarters Pekerja Ladang Pelitanah 1 dan 2, Dalat, Mukah, Sarawak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, katanya, dua lokaliti iaitu Apartmen Sri Rakyat, Bandar Bukit Jalil, di sini, serta Blok 11 dan Blok 12, Lorong 4, Taman Nuri, Sandakan, Sabah yang dikenakan PKPD sejak 11 Julai lalu ditamatkan mengikut jadual, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 7:53 PM