GAMBAR yang tular di media sosial. FOTO tular
GAMBAR yang tular di media sosial. FOTO tular
Raja Noraina Raja Rahim


Subang: Polis sedang mengesan tiga individu yang dipercayai memakai gelang dalam pengawasan (PUS) Covid-19 di sebuah farmasi di Puchong Perdana di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, pasukan pematuhan dan pemantauan Covid-19 menjalankan pemeriksaan di premis berkenaan selepas tular di media sosial pada Jumaat lalu.

"Soal siasat terhadap penyelia farmasi memaklumkan kejadian itu berlaku pada 11.20 pagi, 15 Julai lalu.

"Seorang lelaki memasuki premis tanpa membuat imbasan MySejahtera dan memakai gelang jambu mahu membeli ubat manakala seorang lagi lelaki dan wanita menunggu di luar premis.

"Lelaki yang memasuki premis beredar tanpa membuat sebarang pembelian selepas dimarahi dan diarahkan keluar oleh pekerja," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, beliau berkata, empat pekerja farmasi yang bertugas pada hari kejadian sudah diarahkan menjalani kuarantin kendiri di rumah dan membuat ujian calitan awal.

"Tiada sebarang laporan polis dibuat selepas kejadian namun siasatan dilakukan dan polis sedang mengesan tiga individu itu kerana melanggar arahan kuarantin yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Beliau berkata, polis turut mengeluarkan kompaun terhadap premis berkenaan mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2021 kerana gagal memastikan pelanggan risiko rendah dibenarkan masuk dalam premis.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 10:49 AM