Gambar hiasan
Gambar hiasan
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang pesara jururawat kerugian RM326,586 selepas diperdaya individu dipercayai warga asing yang menggunakan akaun Facebook (FB), Lucas Cai.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah Superintendan Elias Omar berkata, mereka dikatakan berkenalan pada 1 Mac lalu melalui FB.

Beliau berkata, lelaki itu beranggapan pada awalnya akaun FB Lucas Cai adalah milik anak saudaranya tetapi mangsa tersilap orang namun kemudian mereka mula berhubung melalui aplikasi Whatsapp.

"Suspek memperkenalkan diri sebagai penama 'Lucas' berasal dari United Kingdom dan bekerja sebagai Rig Engineer di sebuah syarikat di Nortern Ireland (British Petroleum).

"Sepanjang perkenalan mereka, suspek meminta pertolongan daripada mangsa dari segi sumber kewangan kerana projek atau tender suspek iaitu 'pembaikan selinder pam' yang rosak dan perlu ditukar baharu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Elias berkata, atas dasar kasihan dan rayuan suspek, mangsa kemudian membuat empat kali transaksi bayaran secara berperingkat ke tiga akaun bank yang berbeza di kaunter Maybank, Alor Setar pada 18 Mac hingga 19 April lalu yang berjumlah RM 326,586.

Beliau berkata, mangsa menggunakan sumber kewangan dari hasil simpanan wang ketika mangsa bekerja selama 36 tahun dan wang insuran (simpanan).

"Mangsa kemudian sedar ditipu selepas melihat laman web di dalam Google yang mana terdapat dua orang individu lain ditipu dengan modus operandi yang sama seperti mangsa.

"Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis di Alor Setar pada semalam dan satu kertas siasatan dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu)," katanya.

Elias berkata, sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan love scam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 7:14 PM