DATUK Seri Takiyuddin Hassan. FOTO arkib NSTP
DATUK Seri Takiyuddin Hassan. FOTO arkib NSTP
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Ahli Parlimen boleh berbahas pada Persidangan Khas Parlimen yang akan diadakan secara fizikal dan pada dasarnya boleh dihadiri 220 Ahli Parlimen pada 26 Julai sehingga 2 Ogos ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Ahli Parlimen dibenarkan untuk berbahas serta mengemukakan soalan.

Beliau berkata, Yang Dipertua Dewan (Speaker) akan menentukan perbahasan berkenaan dan berapa lama hendak berbahas terpulang kepada keputusannya.

"Secara pokoknya, saya hendak sebutkan dengan jelas bahawa kebenaran daripada Speaker untuk Ahli Parlimen membahaskan dan mengemukakan soalan atas saranan Perdana Menteri.

"Itu (perbahasan), saya pohon dalam surat daripada Perdana Menteri kepada Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara dengan jelas mengatakan bahawa Perdana Menteri meminta kebenaran daripada speaker supaya membenarkan Ahli Parlimen membahaskan isu yang dibincangkan asalkan tidak melanggar tatacara berbahas serta tidak disekat speaker.

"Ini menunjukkan kerajaan kita telus. Ahli Parlimen boleh mengambil bahagian dan boleh memberi pandangan selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong supaya perkara ini dibincangkan di Dewan Rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pengagihan Bakul Makanan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu di sini, hari ini.

Takiyuddin berkata, kerajaan akan melaksanakan sebagaimana dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau berkata, Persidangan Khas Parlimen itu akan membincangkan tiga agenda ditentukan Perdana Menteri iaitu pertama, membentangkan proklamasi darurat diisytiharkan pada 11 Januari lalu.

"Proklamasi darurat dan ordinan darurat dibuat akan dibentang di dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

"Agenda kedua, kita akan membentangkan proklamasi darurat yang dibuat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Gerik dan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Bogaya di Sabah. Ia dibuat pada Disember lalu, tetapi belum dibentangkan lagi.

"Agenda ketiga ialah penerangan menteri berkaitan dengan masalah Covid-19 dan darurat, sebab ia adalah persidangan khas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 5:00 PM