GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Ekhwan Haque Fazlul

Kuala Lumpur: Tabung Haji (TH) memberi jaminan kepentingan 8.3 juta pendeposit akan terus dipelihara.

Menerusi kenyataan media, TH menghargai pandangan yang diberikan bagi memastikan institusi pengurusan jemaah haji terus unggul.

Menurutnya, TH akan mengesyorkan hak mutlak pengurusan dan operasi haji terus kekal bersama TH selain jaminan kerajaan ke atas deposit di TH mengikut Seksyen 24 Akta Tabung Haji 1995 terus kekal untuk kepentingan pendeposit.

"Selain itu, pembabitan TH dalam sektor ekonomi berdasarkan tadbir urus, pengurusan dan operasi yang utuh dan membuat penambahbaikan dari segi tadbir urus, pengurusan, operasi dan pelaburan untuk kepentingan pendeposit.

"TH akan bekerjasama dan terbabit dalam kajian Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia demi kepentingan pendeposit," katanya, hari ini.

Katanya, cadangan penambahbaikan operasi TH termasuk pelaksanaan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tidak akan mengganggu operasi dan urusan pendeposit.

Katanya, TH kini berada di landasan yang baik dengan kedudukan kewangan yang lebih kukuh dan stabil.

"Kerajaan mencadangkan untuk menambah baik pengurusan dan operasi TH secara menyeluruh dan ini akan membabitkan cadangan dasar model baharu operasi TH dan semakan pindaan Akta Tabung Haji 1995.

"Cadangan model baharu operasi TH akan diteliti secara bersama oleh Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan Malaysia, Bank Negara Malaysia dan TH.

"Aspek tadbir urus, integriti dan reputasi TH sebagai institusi simpanan kewangan Islam amat penting bagi memastikan keyakinan dan kepentingan orang ramai terjamin khususnya pendeposit," katanya.

Berita berkaitan:

  • Kajian semula model operasi TH untuk tadbir urus lebih baik
  • Model baharu operasi LTH dicadangkan
  • TH akan beri kerjasama kepada RCI jalan siasatan
  • Kerajaan tubuh RCI siasat isu TH
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 4:41 PM