LEMBAGA Tabung Haji (TH) mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM1.52 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini. FOTO Arkib NSTP
LEMBAGA Tabung Haji (TH) mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM1.52 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini. FOTO Arkib NSTP
Bisnes HM

Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM1.52 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini berakhir pada 30 Jun 2021 berbanding dengan RM1.55 bilion pada tempoh sama tahun 2020.

Walaupun menurun satu peratus, pencapaian ini mencerminkan ketahanan TH menangani kelembapan ekonomi dan perniagaan yang sukar pada masa kini.

Sebahagian besar pendapatannya diperoleh daripada pelaburan pendapatan tetap yang telah menyumbang sebanyak RM942.6 juta dalam tempoh setengah tahun pertama yang merangkumi 62 peratus daripada jumlah pendapatan kasarnya.

Pelaburan saham turut menyumbang RM219.9 juta untuk tempoh semakan, mencatatkan peningkatan berbanding RM184.2 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Pelaburan ekuiti menyumbang 14 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan, manakala pelaburan harta tanah

memperoleh pendapatan sebanyak RM174.7 juta, diikuti pelaburan pasaran wang dengan pendapatan RM161.8 juta.

Selepas mengambil kira perbelanjaan serta peruntukan zakat, TH mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.22 bilion dalam tempoh enam bulan pertama sehingga 30 Jun 2021, penurunan dua peratus berbanding RM1.25 bilion dalam tempoh sama tahun 2020.

Antara faktor yang menyebabkan penurunan keuntungan adalah dari pelaburan harta tanah berikutan keadaan pasaran mencabar kerana pandemik di seluruh dunia.

Kedudukan kewangan TH terus kekal kukuh dengan aset berjumlah RM85.92 bilion melebihi liabiliti berjumlah RM83.73 bilion pada 30 Jun 2021.

Jumlah kos operasi juga hampir sama dengan kos pada tahun lalu, hasil langkah pengurusan berhemah walaupun di dalam keadaan ekonomi yang mencabar.

Pada 30 Jun 2021, jumlah deposit di TH berjumlah RM81.14 bilion, iaitu paras tertinggi sejak penubuhannya, 58 tahun lalu dengan 8.3 juta pendeposit pada 30 Jun 2021.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, pendekatan berstruktur terhadap pelaburan ini mencerminkan komitmen TH untuk melindungi kepentingan pendeposit dengan memelihara dan meningkatkan simpanan mereka untuk memenuhi kewajiban agama.

"Kami amat sedih kerana tidak dapat menguruskan ibadah haji pada tahun ini, namun kami tetap mengatur kesemua langkah-langkah yang diperlukan bagi menambah baik aspek persiapan haji mengikut peraturan dan syarat keselamatan yang baru.

"TH sentiasa mengambil langkah berhati-hati pada setengah tahun kedua tahun 2021 dengan mengambil kira penularan varian Covid-19 baru muncul.

"Namun, dengan proses vaksinasi yang telah ditingkatkan, pastinya ia akan menjadi pemangkin kepada petumbuhan semula ekonomi negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, TH sentiasa menghargai sokongan pihak berkepentingan, terutamanya pendeposit dam akan terus meningkatkan dan memperkukuh aspek tadbir urus dan operasi demi membina ketahanannya sehingga ke masa hadapan.

"Melangkah ke hadapan, TH akan meneruskan usaha meningkatkan pendapatan melalui pelaburan dan menguruskan kos operasi dengan lebih cekap untuk memastikan agihan keuntungan yang mampan dan stabil untuk pendeposit.

"TH juga akan terus fokus terhadap tahap tadbir urus, pematuhan dan integriti yang tinggi demi kebaikan TH dan pendepositnya.

"Operasi TH dan urusan harian pendeposit tidak akan terganggu oleh keputusan kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) dan kawalselia Bank Negara Malaysia sementara dapatan siasatan RCI dibentangkan kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 4:01 PM