GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Jangan beri alasan palsu untuk merentas daerah atau negeri semata-mata untuk pulang ke kampung menyambut Aidiladha.

Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Mohd Roze Shaari berkata, jumlah permohonan rentas daerah dan negeri yang dipohon dalam tempoh terdekat di negeri itu menunjukkan pertambahan.

Menurutnya, penggunaan surat yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kini tidak diterima dan hanya surat kebenaran dari polis sahaja dibenarkan.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) nasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan alasan palsu untuk pulang ke kampung bagi meraikan sambutan Aidiladha pada Selasa ini.

"Cubaan tu memang ada (merentas daerah dan negeri) dan kalau kita tak sekat pergerakan, nanti bimbang jangkitan Covid-19 boleh merebak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Roze berkata, pihak polis akan melakukan pemantauan terhadap pihak yang mengambil kesempatan atas kebenaran pergerakan yang dikeluarkan oleh polis.

Beliau berkata, tindakan tegas termasuk mengenakan kompaun terhadap mereka yang mengambil kesempatan akan dikenakan.

"Sekarang jumlah kes harian Covid-19 tengah meningkat, eloklah duduk di rumah saja...kalau ada keperluan kecemasan saja kita benarkan rentas daerah atau negeri.

"Orang ramai mengetahui sebarang aktiviti daerah atau negeri bagi tujuan menyambut hari raya di kampung halaman atau melancong dalam negeri boleh memaklumkan terus kepada Bilik Kawalan Covid-19 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di talian 04-7741275 atau terus ke bilik kawalan daerah yang berdekatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 1:30 PM