GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu Dr Nor Azimi Yunus meluahkan kekecewaan dengan sikap segelintir masyarakat yang merentas negeri sehingga menjadi punca kes positif Covid-19 di negeri ini meningkat.

Beliau berkata, masyarakat dipesan untuk tangguhkan rentas negeri bagi mengelakkan penularan pandemik Covid-19 tetapi tidak diendahkan menyebabkan kes positif meningkat secara mendadak.

"Tidak serikkah kalian (segelintir masyarakat) dengan sejarah sambutan Aidilfitri lalu, dipesan supaya tangguh rentas negeri untuk mengelakkan penularan, tetapi tidak berbekas... kerasnya hati kalian sehingga menyebabkan kes mencanak naik.

"Sambutan Aidiladha seolah-olah mengundang situasi yang sama.... masih berduyun-duyun untuk rentas negeri pulang ke kampung," katanya melalui catatan Facebook (FB) hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, hanya tiga minggu negeri ini mengekalkan angka harian kes jangkitan Covid-19 dua digit, bagaimanapun dalam tempoh dua minggu akhir-akhir ini, lapan kluster baharu dikesan susulan rentas negeri sehingga menyebabkan bilangan kes meningkat.

"Ada kluster menular ke beberapa daerah... adakah kalian fikir kami tidak terkesan dengan situasi begini..?

"Ada kluster buat majlis tahlil tiga malam, diundangnya ustaz dan pelajar tahfiz... akhirnya menjangkiti ramai pelajar tahfiz dan beberapa lagi tenaga pengajar," katanya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya lebih berwaspada dengan penularan varian baharu Covid-19 iaitu varian Delta yang memiliki kekuatan jangkitan sangat luar biasa.

Katanya, masyarakat yang berada di luar negeri ini dan bercadang untuk pulang menyambut Aidiladha disaran berfikir serta bertindak bijak untuk bersama melindungi diri sendiri dan orang lain.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 11:45 PM