FARAH Hani menjalani sesi pembelajaran kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) menyiapkan tugasan yang diberikan, 13 Julai lalu. Pandemik Covid-19 menyebabkan Kementerian Pendidikan mengarahkan universiti dan kolej tidak mengadakan kelas secara bersemuka. FOTO Rohanis Shukri
FARAH Hani menjalani sesi pembelajaran kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) menyiapkan tugasan yang diberikan, 13 Julai lalu. Pandemik Covid-19 menyebabkan Kementerian Pendidikan mengarahkan universiti dan kolej tidak mengadakan kelas secara bersemuka. FOTO Rohanis Shukri
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersetuju memberikan kelonggaran dan pertimbangan sewajarnya terhadap tuntutan yuran membabitkan pelajar yang terjejas dan menghadapi masalah kewangan.

KPT dalam satu kenyataan media, hari ini memaklumkan, pihaknya sentiasa mendengar dan memahami keluh kesah golongan ibubapa dan penuntut yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Katanya, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) melalui Surat Edaran bertarikh 22 Mac 2021 sudah meminta Universiti Awam (UA) untuk memberikan kelonggaran dan pertimbangan sewajarnya terhadap tuntutanyuran membabitkan penuntut dan keluarga yang berhadapan kesukaran serta terjejas pendapatan.

"Bagi meringankan beban pelajar UA melaksanakan beberapa inisiatif antaranya pengurangan yuran perkhidmatan, yuran asrama, yuran konvokesyen dan yuran aktiviti kolej.

"Inisiatif pengurangan ini adalah purata antara 10 peratus sehingga 35 peratus, bermula semester kedua sesi akademik 2019/2020 sehingga hari ini.

"Pengurangan yuran bagi semester kedua sesi akademik 2019/2020 membabitkan semua pelajar warganegara Malaysia ini membabitkan peruntukan sebanyak RM75 juta dengan RM20 juta adalah peruntukan tambahan kerajaan dan RM55 juta lagi menggunakan sumber dalaman UA," katanya.

Bagi semester pertama sesi akademik 2020/2021, pengurangan yuran adalah sebanyak RM70.2 juta diberikan oleh UA manakala pengurangan pada sesi kedua sesi akademik 2020/2021 membabitkan sejumlah RM40.5 juta.

"Inisiatif ini membabitkan implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM185.7 juta bagi dimanfaatkan 386,142 pelajar untuk ketiga-tiga semester berkenaan.

"Langkah-langkah yang diambil ini jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam menangani bebanan kewangan yang dihadapi oleh pelajar dan ibubapa.

"Kementerian berpandangan kadar pengurangan yuran yang dinyatakan adalah munasabah memandangkan 20 UA yang terbabit terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi dengan menggunakan sumber peruntukan dalaman susulan penurunan penjanaan pendapatan menerusi yuran pelajar selain pengurangan peruntukan mengurus oleh kerajaan berikutan pandemik Covid-19,"

katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 11:12 AM