Pelaksanaan program korban anjuran EZ Qurban di Sri Lanka tahun lalu. FOTO ihsan pembaca
Pelaksanaan program korban anjuran EZ Qurban di Sri Lanka tahun lalu. FOTO ihsan pembaca

Kuala Lumpur: Minoriti Islam, dihimpit peperangan dan golongan asnaf yang ramai antara kriteria EZ Qurban Sdn Bhd memilih tiga negara baharu untuk melaksanakan ibadah korban sempena Aidiladha tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi EZ Qurban, Muhammad Hafeez Firdaus Toharudin berkata, pihaknya sentiasa menjadikan kriteria berkenaan sebagai panduan untuk memilih negara tertentu bagi melaksanakan ibadah korban.

Menurutnya, antara kriteria lain juga, pemilihan dibuat berdasarkan kemampuan negara berkenaan memberikan bekalan serta mampu melaksanakan ibadah korban mengikut prosedur atau garis panduan ditetapkan EZ Qurban.

"Kita (EZ Qurban) sudah mencapai 37 negara (tidak termasuk Malaysia) dan kini capaian negara terbaru adalah Kyrgyzstan yang terletak di Asia Tengah, Papua New Guinea di benua Ocenia, dan Burkina Faso yang terletak di Afrika Barat.

"Selain menambah capaian negara pelaksanaan EZ Qurban, kebanyakan negara yang dipilih adalah kerana terdapat banyak golongan yang masih memerlukan bantuan. Isu kebuluran, kemiskinan dan kekurangan fasiliti bekalan air dan elektrik sudah sinonim dengan mereka.

"Sebab itu kami tidak akan menggalakkan untuk laksana korban itu dengan tujuan memberi makan atau membantu golongan memerlukan kerana orang yang susah akan memerlukan bantuan itu sepanjang masa, bukan hanya semata-mata musim korban. Malah, pemahaman bahawa istilah korban itu sedekah adalah tidak kena.

"Korban itu tidak lain hanya untuk ibadah diri sendiri dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah. Tanda ketaqwaan kita akan disusuli selepas ibadah ini selesai dilakukan. Jika masih berperwatakan sama bermaksud korban itu belum mengajar kita erti apa-apa," katanya.

Mengulas lanjut mengenai penyertaan peserta, katanya, mereka yang melakukan ibadah korban bersama EZ Qurban atau rakan lain, dinasihatkan serahkan tanggungjawab berkenaan kepada kumpulan itu dalam menjayakannya.

"Pelbagai cara boleh kita lakukan dalam bentuk agihan untuk berkongsi rezeki dengan mereka. Yang sampai kepada Allah hanyalah ketaqwaan, bukan daging dan darah haiwan yang dikorbankan," katanya.

Mengulas mengenai negara baru pilihan EZ Qurban tahun ini, katanya, di Burkina Faso sedang dihimpit peperangan dan kekurangan makanan akibat kemiskinan selain mengalami ketidakstabilan ekonomi.

"Kyrgyzstan pula merupakan negara baru yang masih belum diterokai yang secara geografinya terdapat banyak gunung-ganang. Sebenarnya kita dah laksanakan pada tahun 2019 tetapi kali ini sukarelawan dari Malaysia akan ke negara itu untuk memantau proses korban," katanya.

Muhammad Hafeez berkata, korban Syria pula bagi menyantuni pelarian perang yang terletak di Al-Bab dan A'zaz yang terletak di utara Syria yang hanya boleh diakses masuk melalui sempadan Turki-Syria.

Sementara itu, katanya, selain di luar negara, pihaknya juga berharap sambutan menggalakkan kepada program korban dalam negara yang akan dianjurkan.

Katanya, dalam meneroka pelbagai negara di seluruh dunia, korban tempatan tetap diutamakan bagi meningkatkan syiar ibadah korban terus subur di Malaysia.

"Tiada niat dan tujuan lain dalam kita melaksanakan ibadah korban melainkan hanya semata-mata berkorban seperti mana apa yang diajarkan Nabi Ibrahim dan Rasulullah SAW," katanya.

Untuk rekod, EZ Qurban mempunyai beberapa pakej korban yang boleh dilakukan iaitu pakej Korban Lokal berharga RM750 untuk satu bahagian lembu dan RM1,199 untuk seekor kambing, manakala ibadah korban di luar negara bermula dengan harga serendah RM320 untuk satu bahagian lembu dan RM580 bagi seekor kambing.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai boleh menghubungi EZ Qurban di talian 1-800-885-885 atau boleh kunjungi laman web di www.ezqurban.org.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2022 @ 2:53 PM