Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur menerima aduan berhubung rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan beberapa kenderaan terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Hubungan Timur Barat bersebelahan Depoh Simpanan Kenderaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dari arah Cheras menghala ke pusat bandar.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, hasil semakan mendapati sejak 1 Januari hingga hari ini, terdapat 28 kemalangan berlaku di lokasi itu.

"Beberapa faktor dikenal pasti sebagai penyumbang utama kepada kemalangan itu antaranya permukaan jalan licin selepas hujan, bentuk jalan berselekoh dan sikap pengguna jalan raya yang memandu melebihi kelajuan ditetapkan hingga menyebabkan kenderaan hilang kawalan lalu terbabas," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, JSPT Kuala Lumpur akan membuat siasatan dan pemantauan yang kerap di lokasi itu bagi mengelakkan sebarang unsur sabotaj yang boleh menyebabkan kemalangan kepada pengguna jalan raya.

Katanya, pengguna jalan raya yang melalui lokasi itu juga diminta berhati-hati bagi mengelakkan kemalangan berlaku.

JSPT Kuala Lumpur menerima aduan berhubung rakaman video kemalangan yang tular di media  sosial menunjukkan beberapa kenderaan terbabit dengan kemalangan. FOTO ihsan pdrm
JSPT Kuala Lumpur menerima aduan berhubung rakaman video kemalangan yang tular di media sosial menunjukkan beberapa kenderaan terbabit dengan kemalangan. FOTO ihsan pdrm

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 3:09 PM