FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Sri Ayu Kartika Amri dan Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pelaksanaan penjujukan genom atau ujian terhadap sampel diambil dari kalangan pesakit adalah kunci bagi mengenal pasti jenis varian Covid-19 yang 'menyerang' negara ketika ini.

Pakar Virologi Universiti Malaya (UM) Prof Dr Sazaly Abu Bakar berkata, proses penjujukan genom itu berupaya mengenal pasti secara tepat jenis varian yang menular di negara ini dan kebolehannya untuk membiak atau bermutasi.

Menurutnya, penjujukan genom akan dapat mengesan lokaliti asal varian dan kawasan penularannya sekali gus membolehkan tindakan awal diambil bagi membendung virus terbabit.

"Kita kekurangan data dan sekarang terutamanya di Semenanjung dan Lembah Klang, kita tidak pasti jenis varian apa yang ada serta varian apa menyumbang kepada peningkatan jangkitan.

"Justeru, penjujukan genom adalah langkah terbaik dilakukan bukan sahaja kepada pesakit Covid-19, malah yang sudah meninggal juga perlu dibuat penjujukan itu.

"Memang kita kena buat penjujukan genom ini sebab kita perlu tahu adakah ia berkaitan dengan kematian, begitu juga dengan kluster yang wujud, kluster daripada mana, jenis varian apa yang wujud dan sebagainya.

"Sebagai contoh jika melalui hasil penjujuran genom didapati varian Lambda dari Peru, kita sudah boleh mengenal pasti daripada mana boleh munculnya varian ini sama ada daripada kapal kargo, pendatang tanpa izin (Pati) atau lain-lain," katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, hari ini.

Menurutnya, seperti varian Delta, memang terdapat data yang mengesahkan kewujudannya ada di Sarawak dan bukan di Semenanjung.

Oleh itu, Dr Sazaly berkata, langkah terbaik pada masa ini adalah kerajaan perlu melaksanakan penjujuran genom dengan segera kerana jika kes jangkitan berlarutan lebih banyak varian lain akan muncul.

"Kita bimbang varian yang ada ini diimport atau bermutasi dari negara kita sendiri kerana ia boleh berlaku selagi ada penularan virus.

"Malaysia juga mempunyai sekurang-kurangnya dua varian Covid-19, berdasarkan hasil penjujukan genom dilakukan pasukan penyelidik UM pada awal tahun ini.

"Kami sudah membuat penjujukan genom berpandukan sampel tahun lalu dan menghantar profil identiti bagi menunjukkan kepentingan penjujukan genom yang mana varian ini adalah varian awal dan bukan terkini," katanya.

Sebelum ini, WHO turut memberi amaran bahawa Covid-19 kini berada pada 'fasa sangat berbahaya' akibat ancaman varian Delta yang lebih mudah berjangkit dan sudah dikesan di 98 negara.

Antara varian yang membimbangkan itu adalah jenis Alpha, Beta, Gamma, Delta, Epsilon, Eta, Iota, Kappa, Lambda, Theta dan Zeta yang dikesan dari United Kingdom, Afrika Selatan, Brazil, India, Amerika Syarikat, Nigeria, Amerika Syarikat, Peru dan Filipina.

Sementara itu, Dr Sazaly berkata, selain melakukan penjujuran genom, langkah mempertingkatkan pemberian vaksin terutama kepada mereka yang berusia 50 tahun ke atas serta melaksanakan saringan menyeluruh juga dapat membantu mengurangkan penularan Covid-19.

"Mengenai pengambilan vaksin, impaknya hanya akan terasa seawal September ini kerana keberkesanan vaksin dapat dilihat hanya selepas dua minggu selepas pengambilan dos kedua.

"Ramai yang tidak tahu jika kita mengambil vaksin dos pertama kita harus menunggu tiga minggu untuk dos kedua dan selepas dos kedua kita kena tunggu pula dua minggu lagi untuk tengok pada kadar pelalian.

"Dalam tempoh ini, imun badan akan menjadi lemah dan sebab itu jangan ingat bila sudah divaksin kita menjadi 'kebal'.

"Selepas dua minggu ambil vaksin memang sistem imun badan kita akan 'jatuh' sebab itu kita terdedah dengan penyakit lain, sama seperti ketika kita demam atau selsema sistem badan lemah dan ini perkara biasa," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 6:53 PM