Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Kerajaan Johor mengesahkan sudah menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 12 Ogos depan.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, surat rasmi daripada Seri Paduka Baginda yang memperkenankan sidang DUN diadakan pada tarikh berkenaan sudah pun diterima kerajaan negeri.

Katanya, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga sudah dimaklumkan mengenai perkenan Yang di-Pertuan Agong itu.

"Oleh itu, kerajaan Johor akan membuat persiapan dan perancangan agar sidang DUN berjalan sebagaimana kehendak peraturan persidangan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan tiga mesin ventilasi kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, hari ini.

Hasni Mohammad (dua dari kanan) mendengar penerangan  fungsi mesin ventilator yang diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, hari ini. FOTO OMAR AHMAD
Hasni Mohammad (dua dari kanan) mendengar penerangan fungsi mesin ventilator yang diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, hari ini. FOTO OMAR AHMAD

Sementara itu, Hasni ketika ditanya mengenai tempoh sidang DUN Johor berkata, perkara itu akan diperincikan terlebih dahulu.

Pada 23 Jun lalu, Sultan Ibrahim memperkenankan supaya DUN Johor bersidang pada 12 Ogos ini.

Baginda juga dilaporkan berkenan untuk berangkat bagi merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat pada tarikh tersebut yang akan diadakan di Kota Iskandar.

Sementara itu, Hasni berkata, sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi meneliti aduan yang diterima daripada Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-​Malaysia (EuroCham) dan seluruh komuniti perniagaan berhububg prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Beliau berkata, jawatankuasa khas itu akan membolehkan Johor mengenal pasti punca dan langkah yang boleh diambil untuk membantu pelabur khususnya syarikat multinasional menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

"Saya sudah berbincang dengan pihak industri dan EuroCham yang menyuarakan beberapa perkara termasuk SOP yang dikuatkuasakan (ketika ini) tidak seragam dan memerlukan kerajaan negeri untuk membantu supaya tidak berlaku kekeliruan di peringkat penguatkuasaan.

"Jadi untuk itu jawatankuasa khas ini akan mengenal pasti apa jua masalah yang mereka hadapi itu dan kita akan carikan jalan penyelesaiannya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 7:36 PM