Penduduk yang juga orang kelainan upaya (OKU) menerima suntikan vaksin di rumahnya di Kampung Orang Asli Bukit Payung. FOTO NURALIAWATI SABRI
Penduduk yang juga orang kelainan upaya (OKU) menerima suntikan vaksin di rumahnya di Kampung Orang Asli Bukit Payung. FOTO NURALIAWATI SABRI
Nuraliawati Sabri


Alor Gajah: "Saya bukan tidak mahu ambil vaksin tetapi takut dicucuk, tengok jarumnya sahaja sudah takut," kata masyarakat Orang Asli Rami Song Song, dari Kampung Orang Asli Bukit Payung.

Rami, 62, berkata, pada awalnya apabila diberitahu mengetahui suntikan vaksin Covid-19 dia menolak dan tidak mahu walaupun anak-anak ada memujuk.

"Saya memang takut jarum tetapi anak-anak tidak putus memujuk. Selepas dicucuk memang benar tidak sakit dan prosesnya hanya sekejap sahaja.

"Bagi saya suntikan vaksin ini penting kerana dapat melindungi diri serta anak cucu, maklumlah kita ada keluar jadi vaksin perlu diambil," kata ibu kepada tujuh anak itu ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin Bergerak (PPVB) di Kampung Orang Asli Bukit Payung, di sini, semalam.

Sementara itu, penduduk tertua di kampung berkenaan Puchat Lubak yang mendakwa umurnya sudah mencecah 120 tahun (di dalam kad pengenalan berumur 92 tahun) berkata, dia bersetuju menerima suntikan vaksin kerana bimbang dijangkiti Covid-19.

"Sekarang ada sudah ada penyakit (Covid-19) jadi nenek mahu ambil vaksin kerana takut.

"Cucu dan anak- anak banyak beritahu berhubung kebaikan vaksin jadi nenek setuju untuk ambil hari ini (semalam)," katanya yang dari suku Temuan.

Cucu warga emas itu Asiah Jegap, 37, berkata, dia bersama ahli keluarga yang lain mengambil masa kira- kira seminggu untuk memujuk neneknya itu sebelum dia bersetuju.

"Awalnya bila kami beritahu untuk dia suntik vaksin nenek tidak mahu, katanya tidak perlu.

"Seminggu jugalah kami cuba memujuknya sebelum dia berubah fikiran dan setuju bersama- sama untuk menerima vaksin hari ini (semalam)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 6:59 PM