Minah Suri menerima suntikan vaksin Covid-19 pada Program Outreach Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Kampung Orang Asli Merbau. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Minah Suri menerima suntikan vaksin Covid-19 pada Program Outreach Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Kampung Orang Asli Merbau. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Maran: "Saya bersama anak serta seorang cucu menerima suntikan vaksi Covid-19 jenis Sinovac secara serentak, hari ini.

"Kami menerima suntikan dalam bas berhawa dingin sambil dilayan dengan baik oleh jururawat," kata warga emas Orang Asli, Minah Suri, 72.

Dia antara 53 masyarakat Orang Asli Kampung Orang Asli Merbau, di sini serta lebih 200 masyarakat Melayu menerima vaksinasi di bawah Program Outreach Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) anjuran Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib.

Minah berkata, dia ditemani anaknya, Nornie Mala Omar, 50, dan cucunya, Wanisa Tangih, 20, mendaftar dengan urus setia pada 11.30 pagi dan selesai menerima suntikan setengah jam kemudian tanpa sebarang masalah.

Katanya, perasaan bimbang untuk menerima suntikan memang terasa kerana dia menghidap beberapa penyakit termasuk semput, namun selepas mendapat nasihat doktor dan jururawat keyakinan mula terpahat di hati.

"Kekuatan semangat ditambah dengan adanya anak dan cucu yang turut sama bersama saya, mereka turut memberi nasihat dan sokongan supaya menerima vaksin disediakan kerajaan.

"Rugi sekiranya saya tidak merebut peluang bertujuan membendung jangkitan wabak Covid-19 dalam kalangan penduduk negara ini, vaksin diberi secara percuma dan tidak perlu takut kerana tidak sakit," katanya yang berharap lebih ramai lagi Orang Asli menerima suntikan vaksin Covid-19.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Orang Asli Merbau, Aziz Muhamad, 50, berkata terdapat lebih 250 penduduk Orang Asli Kampung Orang Asli Merbau, namun jumlah yang berminat menerima suntikan vaksin cuma 53 orang sahaja dan masih ramai tidak berminat dengan memberi pelbagai alasan.

Katanya, mereka yang menerima suntikan hari ini datang mendaftar secara sukarela dan tidak terpengaruh dengan cerita tidak benar yang banyak tersebar.

"Saya akan berusaha menasihatkan mereka yang belum menerima suntikan vaksin supaya dapat menerimanya selepas ini sekiranya ada tawaran dalam memastikan jangkitan wabak Covid-19 tidak berlaku di Kampung Orang Asli Merbau.

"Saya bersyukur apabila turut sama berpeluang menerima suntikan hari ini selepas lama menunggu, dos pertama sudah selesai dan tunggu dua minggu lagi untuk dos kedua," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 3:44 PM