Siti Rohana Idris

Jeli: Tanggungjawab diberikan sebagai pengantara dengan membuat pengumuman dalam dialek suku kaum Jahai berjaya 'memujuk' masyarakat Orang Asli untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Begitu usaha dilakukan Ramli Lanas, 56, dari Kampung Manok, Sungai Rual, di sini, menerusi kempen Info On Wheels yang dilaksanakan Jabatan Penerangan negeri (Japen).

Ramli berkata, dia akan membaca maklumat yang disediakan mengenai keperluan mendapatkan vaksin sebelum menterjemahkannya mengikut dialek etniknya.

"Cara ini memang berkesan dan hari ini ramai (masyarakat Orang Asli) yang datang ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Serbaguna Sungai Rual, di sini, untuk medapatkan suntikan.

"Sebelum ini ada juga yang enggan disuntik kerana bimbang dengan kesannya, malah ada pihak yang tidak bertanggungjawab memberitahu kemungkinan besar kesannya akan membawa kepada kematian.

"Saya lihat kaedah hebahan dalam dialek kami berkesan untuk memujuk penduduk kampung," katanya.

RAMLI Lanas membuat pengumuman dalam dialek etnik dalam suku kaum Jahai bagi memberi pemahaman lebih kepada penduduk  masyarakat Orang Asli agar mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 sempena kempen Info On Wheels pada Outreach Program Imunisasi Covid-19 (PICK) Kebangsaan di Dewan Serbaguna Sungai Rual. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
RAMLI Lanas membuat pengumuman dalam dialek etnik dalam suku kaum Jahai bagi memberi pemahaman lebih kepada penduduk masyarakat Orang Asli agar mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 sempena kempen Info On Wheels pada Outreach Program Imunisasi Covid-19 (PICK) Kebangsaan di Dewan Serbaguna Sungai Rual. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Ramli adalah antara 230 Orang Asli di kampung berkenaan yang menerima suntikan vaksin dos kedua pada program outreach di kampung itu.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) yang juga Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pengarah Japen Kelantan Azahar Ismail.

Sementara itu, Azahar berkata, selain mempergiatkan penyampaian maklumat kepentingan vaksinasi, pihaknya juga memperbanyakkan kempen Info On Wheels di seluruh negeri terutama di kawasan pedalaman termasuk penempatan Orang Asli.

"Apabila berada di kawasan masyarakat Orang Asli, kita menggunakan pendekatan hebahan melalui dialek suku kaum mereka.

"Pendekatan yang sama sudah dijalankan di empat lagi penempatan Orang Asli iaitu Kuala Betis, Pos Hau, Kampung Redip serta Lojing di Gua Musang.

"Saya melihat ia sangat berkesan selain daripada hebahan lain yang dibuat termasuk menerusi media massa," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 5:29 PM