NAJIB menyampaikan replika e-card kepada Ramli selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman di Bangunan Parlimen, semalam. Hadir sama, Mustapa (kanan), Jebasingam (kiri) dan Dr Ngau.
NAJIB menyampaikan replika e-card kepada Ramli selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman di Bangunan Parlimen, semalam. Hadir sama, Mustapa (kanan), Jebasingam (kiri) dan Dr Ngau.
Idris Musa


Kuala Lumpur: Prihatin terhadap nasib pelajar Orang Asli di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) meneruskan kerjasama dengan Yayasan MyKasih bagi membantu mereka mencapai kejayaan dalam bidang akademik.

Kerjasama menerusi program pembangunan modal insan ECERDC atau empower ECER itu memberi fokus kepada peningkatan pencapaian akademik pelajar berprestasi rendah daripada keluarga berpendapatan rendah di luar bandar.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, pihaknya berbesar hati untuk meneruskan kerjasama dengan Yayasan MyKasih dan meluaskan lagi capaian program itu meliputi daerah lain di ECER.

“Ini akan membantu memastikan lebih ramai pelajar Orang Asli dan golongan B40 (berpendapatan rendah) diberikan platform lebih saksama untuk mencapai kejayaan akademik serta mentransformasikan kehidupan mereka di masa akan datang,” katanya pada majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara pihaknya dengan Yayasan MyKasih, semalam.

Majlis itu yang berlangsung di Bangunan Parlimen, di sini, disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Pengerusi dan Pengasas Bersama Yayasan MyKasih Tan Sri Dr Ngau Boon Keat.

Pada majlis itu, Najib yang juga Pengerusi ECERDC menyampaikan replika e-kad kepada wakil masyarakat Orang Asli di tempat masing-masing iaitu Tok Batin Kampung Gumum, Tasik Chini, Pahang Awang Alok dan Penghulu Sungai Rual, Jeli, Kelantan, Ramli Pisang.

Mustapa turut menyampaikan pek hadiah kembali ke sekolah kepada kira-kira 30 pelajar Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan Tasik Chini dan Sekolah Kebangsaan Sungai Rual yang hadir pada program berkenaan.

Menerusi kerjasama itu, seramai 117 pelajar Orang Asli akan menerima elaun bulanan tanpa tunai bernilai RM60 melalui kad pintar bursari pelajar Love My School MyKasih.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 4:25 AM