GAMBAR hiasan. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
GAMBAR hiasan. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
BERNAMA

Pasir Mas: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) menyasarkan lebih ramai anak muda menceburi sektor pertanian berteknologi tinggi dalam usaha meremajakan bidang berkenaan dan persediaan bagi tujuan eksport.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, penggunaan teknologi yang serba moden dan terancang mampu meningkatkan hasil tanaman yang diusahakan termasuk kualiti tanaman dan produktiviti pertanian.

"Ia seolah menjadi timbal balik dalam sektor pertanian dengan pembabitan anak-anak muda yang kreatif menggunakan teknologi-teknologi baharu sekali gus dapat memaksimumkan hasil pengeluaran yang bermutu tinggi dan boleh dieksport.

"Malah, kita juga mahu terapkan kepada petani baharu khususnya golongan muda apabila berkecimpung dalam bidang ini mereka perlu terapkan dalam pemikiran mereka bahawa tanaman itu bukan hanya untuk pasaran tempatan, namun bercita-cita untuk memasarkan hasil pertanian sehingga ke pasaran antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Projek Komuniti Kampung Beta, Pohon Buloh, dekat sini yang mengusahakan tanaman cendawan tiram yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan (Adun) Meranti Datuk Mohd Nassuruddin Daud, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata industri pembiakan cendawan sebagai tanaman hiliran di negara ini semakin meluas dijalankan melalui penggunaan pelbagai teknologi canggih sekali gus menarik minat ramai usahawan terutama dalam kalangan orang muda.

"Industri cendawan di Malaysia pada hari ini kian meluas dan hasil tanaman semakin meningkat dari setahun ke setahun. Malah, pada 2018, pengeluaran tanaman cendawan adalah sebanyak 5,589.1 tan meningkat kepada 8,797.6 tan pada 2019.

"Bagi Kelantan, pengeluaran tanaman cendawan pada 2019 adalah sebanyak 393.2 tan dan meningkat kepada 501.6 tan pada 2020," katanya menambah tanaman cendawan mendapat sambutan menggalakan di pasaran kerana ia dapat digunakan dalam pelbagai masakan.

Beliau berkata, sekiranya trend peningkatan pengeluaran cendawan terus meningkat setiap tahun, ia akan memenuhi permintaan di dalam negara, seterusnya ke pasaran antarabangsa.

"Malah, dengan kerjasama beberapa agensi di bawah Mafi, seperti Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), industri cendawan pasti akan terus berkembang dan mendapat tempat di pasaran," katanya.

Projek tanaman cendawan dikenali sebagai Rumah Hasil Cendawan Tiram di Kampung Beta itu adalah hasil kerjasama antara penduduk yang juga Ahli Kelab Komuniti Tani-Ternak Pasir Mas (Kitabina) yang menggunakan pelaras suhu automatik (IOT) yang mampu menghasilkan produk sepanjang tahun.

Projek yang tercetus hasil idea anak jati Kampung Beta, iaitu Muhammad Syahmi Ahmad Johari, 31, ini dimulakan pada Mac lalu dan kini mempunyai sebanyak 2,030 bongkah cendawan dengan setiap bongkah boleh dituai enam kali dan dijual dengan harga RM10 sekilogram.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 4:09 PM