AZHARI aktif mengusahakan cendawan sejak 2017.
AZHARI aktif mengusahakan cendawan sejak 2017.
Muhamaad Razis Ismail


CENDAWAN tiram kelabu cukup dikenali sebagai tanaman yang mudah diusahakan dan mampu memberi pulangan lumayan berikutan mendapat permintaan tinggi di pasaran

Jadi, tidak hairanlah ia diceburi golongan muda sama ada secara tetap atau sampingan.

Azhari Yahya, 31, antara individu yang mula mengusahakan tanaman itu sejak penghujung 2017 berhampiran kediaman keluarganya di Kota Tinggi, Johor.

Katanya, selepas menamatkan pengajian dalam Sarjana Matematik Gunaan, dia mengambil keputusan untuk pulang ke kampung bagi menjaga ibu bapanya.

"Sepanjang berada di kampung, saya sempat menjadi guru di sebuah sekolah swasta selama setahun sebelum membuat keputusan menjalankan projek tanaman cendawan.

"Sebelum itu, saya dan isteri menyertai kursus penanaman cendawan untuk mendapatkan ilmu bagi mengusahakan tanaman ini," katanya.

Ia bermula dengan 200 bongkah cendawan di rumah cendawan yang dibina berhampiran kediaman.

"Kemudian secara berperingkat, kami menambah sehingga 5,000 bongkah cendawan. Pada masa sama, kami turut belajar menjual cendawan segar sama ada di tepi jalan, pasar malam atau secara dalam talian.

"Bagi menambah pendapatan, kami turut menghasilkan bongkah sendiri. Kami turut memperoleh geran daripada Jabatan Pertanian untuk membeli mesin pengukusan dan 'beging' bagi memudahkan proses menghasilkan bongkah," katanya.

Usaha Azhari untuk terus mengembangkan perusahaan cendawannya terbantut selepas dunia dilanda pandemik Covid-19.

"Kami tidak dapat menghasilkan bongkah cendawan berikutan bekalan habuk kayu terputus apabila kilang tidak dapat beroperasi. Kami terpaksa memberi fokus terhadap jualan cendawan segar untuk menjana pendapatan," katanya.

Bagaimanapun, daripada sudut positif timbul idea untuk menghasilkan produk hiliran sendiri berasaskan cendawan termasuk kerepek, pekasam dan cendawan goreng bagi menjana pendapatan.

"Jika cendawan segar dijual pada RM15 sekilogram, nilai itu dapat dipertingkatkan sehingga RM50 menerusi penghasilan produk hiliran.

"Alhamdulillah usaha ini mula menunjukkan perkembangan positif, apabila saya dapat mengembangkan jenama cendawan goreng cheese yang dijual di beberapa lokasi di Johor dan akan dibuka di sekitar Lembah Klang.

"Melalui inisiatif ini, saya juga dapat membantu peniaga lain menjana pendapatan," katanya.

Selain itu, Azhari juga aktif menjalankan kursus asas cendawan dengan kerjasama Jabatan Pertanian dan sendiri.

"Sehingga kini, 200 peserta sudah dibantu. Sambutan yang diberikan amat menggalakkan membabitkan ramai peserta terdiri dalam kalangan penjawat awam, pekerja swasta dan golongan muda yang menunjukkan minat untuk mengusahakan tanaman ini," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, dia berhasrat mengembangkan perniagaan produk hiliran berasaskan cendawan ke seluruh negara.

"Saya juga dalam proses untuk membina sebuah lagi ladang dengan rakan kongsi di Rawang untuk memproses bongkah cendawan dan membekalkan kepada mereka berminat untuk mengusahakan tanaman ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2022 @ 6:50 AM